UMP bangunkan modal insan untuk industri di Negeri Pahang
KUANTAN, 7 Mac 2023 - Confucius Institute, Universiti Malaysia Pahang (CI) menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Teknikal Bahasa Mandarin di kilang pembuatan keluli, Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. (ASSB) yang terletak di Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP).
Kursus Teknikal Bahasa Mandarin telah ditawarkan kepada 68 orang warga di kilang pembuatan keluli pada November 2022 hingga Mac 2023.
Pengarah Confucius Institute (CI) UMP, Yong Ying Mei berkata, Kursus Teknikal Bahasa Mandarin ditawarkan untuk meningkatkan komunikasi antara staf Malaysia dengan staf China dengan lebih berkesan.
“UMP membangunkan modal insan untuk Negeri Pahang dengan pengajaran Kursus Teknikal Bahasa Mandarin dalam bidang metalurgi dengan kandungan pengajaran yang berbeza mengikut kehendak industri.
“UMP menjalinkan kerjasama dengan ASSB dalam usaha akademik bersama komuniti dengan menepati keperluan industri dapat merealisasikan kegemilangan dan keunggulan Pendidikan UMP.
“Sehingga kini, terdapat seramai enam orang guru bahasa Mandarin CI UMP berkhidmat di tapak Pengajaran CI UMP di ASSB hasil kerjasama ini,” katanya.
CI UMP telah menawarkan Kursus Teknikal Bahasa Mandarin di empat buah kilang dalam industri ASSB, iaitu kilang Coking, kilang pembuatan besi, kilang penggulung keluli dan kilang pembuatan keluli.
Seramai 431 orang warga Malaysia yang bekerja di ASSB telah tamat mengikuti Kursus Teknikal Bahasa Mandarin yang dianjurkan CI UMP sejak bulan Julai 2022 hingga Mac 2023.
Kini, Kursus Teknikal Bahasa Mandarin masih dijalankan bagi sesi yang ke-5 dan ke-6 di kilang penggulung keluli dan kilang pembuatan besi pada Mac 2023 hingga Jun 2023.
Majlis turut dihadiri Timbalan Pengarah Peralatan Kilang Pembuatan Keluli, Li Honggang dan Pengarah Jabatan Pengurusan Korporat, Zheng Cunlin.
Disediakan oleh: Yong Ying Mei, Confucius Institute (CI) UMP.
- 84 views