UMPSA himpunkan 18 industri perkasa kolaborasi menerusi Industry-Academia Day 2026
KUANTAN, 22 April 2026 - Seramai 80 peserta mewakili 18 pemain industri telah menyertai program Industry-Academia Day 2026 anjuran Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung di Adena Beach Resort, di sini, baru-baru ini.
Program yang bertemakan ‘Shaping Tomorrow: Industry, Academia & Future Talent’ itu menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara akademia dan industri, selari dengan aspirasi universiti dalam memperkasa ekosistem penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan.
Antara industri yang terlibat termasuklah PETRONAS Chemicals MTBE Sdn. Bhd., W.R. Grace Specialty Chemicals (M) Sdn. Bhd., Kaneka Malaysia Sdn. Bhd., Lynas Malaysia Sdn. Bhd., Metairflow R&D Sdn. Bhd. serta SMC Water Tanks Sdn. Bhd.
Turut serta ialah Nextgreen Global Berhad, Jauhari Permai Resources Sdn. Bhd., MTA Laboratory Sdn. Bhd., BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd., Lembaga Koko Malaysia dan SD Guthrie Berhad.
Selain itu, penglibatan turut disertai oleh Medika Natura Sdn. Bhd., CJ Bio Malaysia Sdn. Bhd., Vantris Energy Berhad, PETRONAS, ZF Chassis Systems Sdn. Bhd. dan BI Technologies Corporation Sdn. Bhd.
Dalam majlis tersebut, Dekan FSTI, Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila dalam ucapannya menekankan kepentingan sinergi antara institusi akademik dan industri dalam memastikan penyelidikan yang dijalankan kekal relevan serta memberi impak langsung kepada pembangunan negara.

“Program seperti ini menjadi pemangkin penting dalam merapatkan jurang antara akademia dan industri.
“Melalui kolaborasi strategik, kita bukan sahaja dapat mempercepatkan pemindahan teknologi, malah dapat memastikan hasil penyelidikan yang dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan industri serta memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
“Penglibatan aktif pihak industri membuka lebih banyak ruang kepada pelajar dan penyelidik untuk memahami keperluan sebenar pasaran serta meningkatkan kebolehpasaran graduan,” ujarnya.
Penganjuran program ini memberi fokus kepada perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi dan penerokaan peluang kolaborasi penyelidikan berimpak tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri semasa.
Pelbagai sesi interaktif turut diadakan termasuk pembentangan teknologi, perbincangan meja bulat dan sesi jaringan profesional yang membuka ruang kepada penyelidik serta pemain industri untuk bertukar idea dan mengenal pasti potensi kerjasama strategik.
Program ini bukan sahaja menjadi medium memperkukuh hubungan industri-akademia, malah turut menyokong agenda universiti dalam melahirkan bakat masa hadapan yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.
Melalui platform seperti ini, UMPSA terus komited dalam memperkasakan penyelidikan berfokus industri, seterusnya menyumbang kepada pembangunan teknologi hijau, inovasi lestari dan kesejahteraan masyarakat.
Malah, program ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam merapatkan jurang antara teori dan aplikasi sebenar di lapangan, sekali gus memperkukuh peranan UMPSA sebagai universiti teknikal terunggul yang memacu kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan negara.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 25 views
Reports by: