Skip to main content

UMPSA jalin kerjasama strategik dengan 23 industri pacu pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi

KUALA LUMPUR, 29 Januari 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan industri apabila memeterai sebanyak 23 memorandum persefahaman (MoU), memorandum perjanjian (MoA) dan Letter of Intent (LoI) bersama rakan industri tempatan dan antarabangsa dalam Majlis Pertukaran MoU dan MoA UMPSA–Industri Siri 1 yang berlangsung di Perdana Hotel Kuala Lumpur City Centre (KLCC) baru-baru ini. 

Majlis ini melibatkan pelbagai sektor industri termasuk aeroangkasa dan penerbangan, pembuatan, kimia, teknologi digital, utiliti, analitik data serta penyelidikan strategik, selari dengan agenda universiti untuk memperkasa pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi.

Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, pemeteraian kerjasama ini menandakan permulaan penting UMPSA bagi tahun 2026 dalam memacu kolaborasi strategik yang mampan bersama industri.

UMPSA jalin kerjasama strategik dengan 23 industri pacu pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi

“Pertemuan ini menandakan permulaan yang penting apabila UMPSA berpeluang menjalin kerjasama dengan 23 rakan industri merangkumi pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi.

"Kerjasama ini bukan sekadar terletak pada dokumen perjanjian, tetapi dibina atas nilai bersama, kepercayaan dan kesediaan untuk berkolaborasi untuk manfaat bersama,” katanya.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Pengarah Hubungan Universiti-Industri, Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee.

Menurutnya lagi pendekatan kerjasama ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Lonjakan Strategik 6 dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 yang menekankan pelaksanaan agenda penyelidikan, pembangunan, inovasi, pengkomersialan dan ekonomi (RDICE) bagi memperkasa ekosistem penyelidikan dan inovasi. 

“Kerjasama universiti dan industri berperanan penting dalam memastikan kebolehpasaran graduan dan kerelevanan penyelidikan UMPSA.

“Kolaborasi strategik ini juga membolehkan UMPSA melaksanakan penyelidikan gunaan, pembelajaran berteraskan industri serta melahirkan graduan yang bersedia menyumbang secara bermakna kepada organisasi dan negara sejak hari pertama mereka melangkah ke alam pekerjaan,” ujarnya.

Majlis turut menyaksikan penyerahan surat pelantikan Profesor Adjung bagi Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) UMPSA yang bertujuan mengukuhkan penglibatan kepakaran industri secara langsung dalam ekosistem akademik universiti.

Turut berlangsung Sesi Powerhouse Talk: CEO@Faculty bertajuk ‘Talent Management in Malaysian Aviation Group (MAG)’ yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Sumber Manusia, Malaysian Aviation Group (MAG), Amran Mohd Tomin.

UMPSA jalin kerjasama strategik dengan 23 industri pacu pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi

Sesi tersebut memberi pendedahan berkaitan strategi pengurusan bakat, transformasi tenaga kerja serta pembangunan kemahiran masa hadapan dalam industri penerbangan.

Antara rakan industri utama yang terlibat dalam pemeteraian kerjasama ini termasuk Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd., Malaysian Aviation Group (MAG), SIRIM Berhad, CelcomDigi Berhad, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Hamad bin Khalifa University (Qatar), Metro Utilities Group Berhad, RunCloud Sdn. Bhd. serta beberapa organisasi lain merangkumi sektor teknologi, pembuatan, penyelidikan dan perkhidmatan profesional.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri