Skip to main content

UMPSA memperkukuh jalinan strategik dengan 33 rakan industri dan komuniti

PEKAN, 10 April 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategiknya apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan 33 rakan kerjasama dari pelbagai sektor yang berlangsung di Dewan Bankuet, UMPSA Kampus Pekan.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dalam ucapannya berkata, program sebegini perlu diimarahkan lagi dengan menjalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan akademia dan industri. 

“Pelbagai input yang diperoleh ini merupakan usaha untuk bergerak bersama antara universiti dengan rakan kerjasama. 

“Kita tidak menafikan bahawa hubungan akademia dan industri sangat intim yang saling memerlukan sama ada dalam pengalaman dan kepakaran serta memerlukan satu sama lain. 

“Sebagai sebuah universiti yang berfokuskan kepada program Kejuruteraan dan Teknologi, saya percaya mana-mana industri memerlukan kepakaran ini dalam menyelesaikan permasalahan industri dan komuniti secara mampan,” ujarnya. 

UMPSA memperkukuh jalinan strategik dengan 33 rakan industri dan komuniti

Tambahnya lagi, dalam tempoh dua tahun sejak 2022, UMPSA mencatatkan pencapaian cemerlang dengan perolehan geran industri berjumlah RM7.87 juta yang melibatkan 118 industri tempatan dan antarabangsa. 

“Pada masa akan datang, universiti ingin memperkasakan hubungan akademia dan industri dalam pelbagai program contohnya, dalam bidang penyelidikan, pembelajaran berasaskan kerja (WBL), penempatan latihan industri, pembangunan bakat dan peluang kerjaya.

“Inisiatif ini bukan hanya kepada pelajar malahan kepada staf dengan harapan mereka akan pulang ke UMPSA dengan membuat penambahbaikan. 

“Saya berharap dengan gabungan kedua-dua pihak ini antara akademia dan industri dapat berkongsi kepakaran masing-masing agarv dapat memberi manfaat kepada semua termasuk komuniti,” katanya. 

Majlis turut diserikan dengan program Powerhouse Talk – CEO@Faculty yang menampilkan Pengarah Eksekutif B-Crobes Group of Companies yang juga merupakan CEO@Faculty, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Lee Heng Yee yang berkongsi ilmu dengan tajuk ‘AI As A Catalyst for Healthcare Evolution’. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Penolong Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim, Pengarah Pusat Hubungan Industri, Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee dan Pegawai-pegawai Kanan UMPSA.

Hadir daripada industri antaranya Prasarana Malaysia Berhad, Wilhelmina Energy Malaysia Sdn. Bhd., Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd, Aqina Agricultural & Biotech Industries Sdn. Bhd., Hertford System Sdn. Bhd., Persatuan Orang Buta Malaysia, Koperasi Bersama Johor Berhad, Iaq Facility Services Sdn. Bhd. dan B-Crobes Laboratory Sdn. Bhd.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris