Skip to main content

Hari Suai Kenal pelajar antarabangsa baharu memperkukuh jalinan komuniti dan budaya di Malaysia

PEKAN, 5 Mac 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jalinan hubungan antarabangsa dengan menganjurkan Hari Suai Kenal bagi pelajar antarabangsa baharu di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, UMPSA Pekan.
 
Acara yang dianjurkan oleh Pusat Hubungan Antarabangsa (PuHA) itu bertujuan untuk membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran akademik dan budaya di UMPSA serta mempererat hubungan antara pelajar dari pelbagai negara.

Menariknya, buat pertama kali dalam sejarah UMPSA, universiti ini menerima dua orang pelajar dari Filipina yang kini menjadi sebahagian daripada komuniti antarabangsa di kampus. 

Selain itu, pelajar dari negara Jerman, China, Ethiopia, India, Indonesia, Bangladesh, Jordan, dan Pakistan turut menyertai program ini, mewujudkan suasana pembelajaran yang benar-benar global.

Acara dimulakan dengan sesi taklimat dan penerangan mengenai kehidupan akademik serta aspek penting yang perlu diketahui oleh pelajar antarabangsa bagi membantu mereka menyesuaikan diri di UMPSA oleh Eksekutif Pusat Hubungan Antarabangsa (PuHA), Muhammad Zufli Zuhari dan Wan Farid Wan Rusli.

Pelbagai aktiviti yang dijalankan antaranya pecah bendungan, kuiz kahoot dan sebagainya. Salah satu aktiviti yang paling mencuri tumpuan ialah sesi permainan tradisional Malaysia. 

Pelajar juga berpeluang mencuba permainan seperti Congkak, Ceper, Batu Seremban, Dam Haji dan Colek Lidi, yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menjadi platform interaksi antara pelajar antarabangsa dan tempatan.

Pada sebelah petangnya, para pelajar dibawa ke Padang Majlis Bandaraya Kuantan untuk merasai pengalaman berbuka puasa bersama komuniti tempatan. 

Mereka turut berpeluang mengunjungi bazar Ramadan yang penuh warna-warni, memberikan mereka pengalaman unik mengenai budaya dan tradisi masyarakat Malaysia.

Hari Suai Kenal pelajar antarabangsa baharu memperkukuh jalinan komuniti dan budaya di Malaysia

Menurut Pengarah PuHA, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari, UMPSA komited dalam memastikan pelajar antarabangsa mendapat sokongan yang diperlukan sepanjang pengajian mereka. 

“Saya berharap para pelajar bukan sahaja memperoleh kejayaan akademik, tetapi juga pengalaman peribadi yang bermakna sepanjang berada di Malaysia,” ujarnya. 

Hari Suai Kenal ini bukan sekadar orientasi, tetapi satu simbol perpaduan dan keterbukaan UMPSA dalam meraikan kepelbagaian budaya. 

Dengan komitmen yang tinggi terhadap komuniti antarabangsa, UMPSA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah institusi pendidikan global yang mesra dan inklusif dalam menerima lebih ramai lagi pelajar antarabangsa dari seluruh negara sama ada pelajar mobiliti atau pelajar sepenuh masa.

Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Hubungan Antarabangsa (PUHA)

Reports by:
Admin UMP News