Persidangan Antarabangsa ICOAIMS 2023 memajukan disiplin Matematik dan Statistik untuk masyarakat celik teknologi
KUANTAN, 22 Ogos 2023 - Seramai 116 orang peserta terlibat dalam penganjuran International Conference on Applied & Industrial Mathematics and Statistics (ICoAIMS) bagi tahun 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 24 Ogos 2023.
Penyertaan juga turut melibatkan peserta dari lima buah negara yang terdiri daripada Malaysia, Oman, Filipina, Saudi Arabia dan Nigeria.
Persidangan antarabangsa ini merupakan siri ke-4 yang telah dianjurkan oleh Pusat Sains Matematik (PSM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan rakan kerjasama daripada Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Hadir merasmikan program Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli.
Turut serta dalam majlis tersebut adalah Dekan PSM, Profesor Dr. Mohd Zuki Salleh serta Pengerusi ICoAIMS 2023, Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid Ab Hamid.
Menurut Profesor Dr. Kamal, mengangkat tema ‘Mathematics and Statistics for Technological Society’, persidangan berjaya menghimpunkan penyelidik terkemuka, ahli akademik dan pakar industri dari seluruh dunia untuk berbincang dan bertukar idea tentang kemajuan terkini dalam bidang Matematik dan Sains Statistik.
"Persidangan ini bukan sahaja platform untuk ahli akademik tetapi juga untuk pengamal industri berkongsi idea dalam menangani masalah industri sebenar sekali gus dapat meneroka potensi kerjasama untuk memacu inovasi dalam bidang yang berkait.
“Platform ini dapat mempromosikan disiplin Matematik dan Statistik sebagai satu profesion yang meluas terutamanya dalam pembangunan teknologi.
“Hal ini selaras dengan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 yang menjana teknologi termaju baharu melalui inisiatif penyelidikan dan teknologi komunikasi,” katanya.
Malah ujarnya, UMPSA juga sentiasa komited dalam menyumbang pembangunan penyelidikan yang berimpak tinggi seiring dengan usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi dalam pelaksanaan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 yang memerlukan komitmen semua pihak untuk memperkukuh rangkaian akademik secara kolaboratif dengan rakan kerjasama yang berwibawa, di peringkat tempatan mahupun global.
“Justeru, untuk tujuan ini, adalah penting bahawa ahli akademik, terutamanya ahli Matematik, Statistik dan pengamal industri bersedia untuk mengubah dan memajukan pengetahuan dan kemahiran mereka kepada analisis data besar (big data), Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan, realiti maya (Virtual Reality), dan teknologi masa depan lain yang berkaitan,” katanya.
Selain itu, persidangan ini juga turut menampilkan seramai empat orang penceramah khas dari pelbagai profesion dan latar belakang.
Antaranya adalah Pengarah Research Management Centre, Universiti Malaysia Sabah, Prof. Dr. Jumat Sulaiman; Pengurus Kanan, Business Advisory and Statistics Section, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Wan Zarazillah Wan Abu Bakar; penyelidik UMPSA, Prof. Madya Dr. yuhani Yusof dan penyelidik dari University of Manchester, Prof. Dr. Sergey V. Utyuzhnikov.
Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhammad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat
- 116 views