Stadium General (Scholars Talk) di Universitas Ahmad Dahlan (UAD) kupas isu ekonomi kitaran dan pengurusan sisa pintar Malaysia dan negara-negara maju
Yogyakarta, Indonesia, 25 September 2024 – Universitas Ahmad Dahlan (UAD) baru-baru ini menjadi tuan rumah kepada program mobiliti pelajar Engineering Exchange CHEST X MECHAPRO yang melibatkan seramai 20 orang pelajar daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Ia merupakan satu inisiatif yang menyaksikan kerjasama erat antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang Teknologi dan Kejuruteraan.
Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar terhadap amalan terbaik dalam industri kejuruteraan, sekali gus memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua negara.
Program mobiliti ini diketuai oleh Ts. Junaidi Zakaria dan Dr. Jun Haslinda Haji Shariffuddin dari FTKKP sebagai penasihat program utama.
Turut serta sebagai penasihat bersama ialah Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, yang dijemput khas untuk menyampaikan scholars talk dalam bentuk Stadium General iiatu satu program ilmiah yang menjadi tradisi di Indonesia.
Sesi ini telah berjaya menarik minat lebih daripada 80 pelajar tahun dua dan tiga dari Fakultas Teknologi Industri, selain turut disertai oleh pensyarah-pensyarah fakulti tersebut.
Dalam perkongsiannya, Ts. Dr. Azizul Helmi menyentuh topik berkaitan ‘Circular Economy & Waste: Smart Waste Management in Malaysia & Developed Countries’.
Beliau berkongsi pandangan mengenai pendekatan pintar yang diguna pakai dalam pengurusan sisa di Malaysia dan negara-negara maju lain.
Antara perkara yang ditekankan ialah bagaimana konsep ekonomi kitaran (circular economy) boleh membantu negara-negara membangun seperti Malaysia dan Indonesia mencapai pengurusan sisa yang lebih mampan dan efisien.
Ts. Dr. Azizul juga turut mengetengahkan contoh-contoh amalan terbaik dari Malaysia yang turut memberi fokus kepada pengurusan sisa di Kuantan, Pahang dan Jepun, termasuk teknologi baharu dalam pengurusan sisa yang berpotensi untuk diaplikasikan di negara-negara lain.
Topik ini mendapat sambutan hangat daripada pelajar dan pensyarah yang turut serta, yang rata-ratanya menunjukkan minat mendalam terhadap perkembangan terkini dalam bidang tersebut.
Para pelajar juga berkongsi idea dan harapan mereka kepada pengurusan sisa pepejal di Indonesia terutama di Yogyakarta sendiri untuk menjadi lebih baik dan lestari.
Menurut Dekan Fakultas Teknologi Industri, Profesor Ir. Dr. Siti Jamilatu, program ini bukan sahaja membuka ruang kepada pertukaran ilmu, tetapi juga menjadi landasan penting untuk para pelajar Malaysia dan Indonesia bekerjasama dalam projek kejuruteraan dan teknologi yang relevan dengan isu global, seperti kelestarian alam sekitar.
"Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk melihat cabaran global dari sudut pandang yang lebih luas sambil membina jaringan kerjasama yang kukuh antara kedua-dua negara," ujarnya.
Turut hadir wakil Dekan Bidang Sumber Daya Manusia, Keuangan, Kehartabendaan dan Administrasi Umum, Utaminingsih Linarti S.T., M.T. dan Koordinator Program, Hapsoro Agung Jatmiko S.T., M.T. serta Ketua Program Studi Teknik Kimia, Agus Atkawan S.T, M.Eng. bersama barisan pensyarah yang lain.
Selain program Stadium General ini, program mobiliti ini turut melakukan kerja-kerja CSR di Dusun Ngunan-unan, Desa Srigading, Sanden, Bantul terkait dengan pengurusan sisa yang lestari dan mendapatkan sijil kompetensi dari Universitas Ahmad Dahlan.
Dengan kejayaan penganjuran program ini, Universitas Ahmad Dahlan dan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia dijangka akan terus mempergiatkan usaha dan kerjasama dalam bidang kejuruteraan dan teknologi pada masa hadapan yang bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada kedua-dua negara malah mempererat hubungan strategik serantau.
Disediakan Oleh: Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP)
- 115 views