Skip to main content

UMPSA dan Pendidikan Malaysia perkukuh hubungan baik dengan Institusi di China

HEBEI, 19 September 2023 - Delegasi Pendidikan Malaysia ke China yang dihadiri Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Ketua Pengarah, Penyelidikan dan Antarabangsa Jabatan Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan telah mengadakan kunjungan hormat ke Hebei University (HBU).

Delegasi disambut oleh Naib Presiden HBU, Profesor Dr. Shen Shigang dan pengurusan HBU. 

Menurut Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie, kunjungan ini mampu mengerat dan memperkukuhkan lagi kerjasama antarabangsa sedia ada antara UMPSA dan HBU yang telah terjalin sejak tahun 2011. 

UMPSA dan Pendidikan Malaysia perkukuh hubungan baik dengan Institusi di China

“Pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa ini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.

“Malah, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara.

“Kolaborasi UMPSA dan HBU turut memberi manfaat dalam penyediaan tenaga pengajar bahasa Mandarin hasil kerjasama pihak Yayasan Terengganu yang membabitkan pelajar sekolah menengah Imtiaz,” ujarnya. 

Menurut beliau lagi, di samping peranan pengajaran bahasa, Confucius Institut UMPSA juga berfungsi sebagai platform untuk pertukaran budaya antara Malaysia dan China, mengukuhkan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya. 

Beliau turut menyampaikan taklimat pencapaian dan penglibatan sepanjang kerjasama ini terjalin terutamanya yang membabitkan Confucius Institut di UMPSA. 

UMPSA dan Pendidikan Malaysia perkukuh hubungan baik dengan Institusi di China

Bersempena kunjungan itu juga, Profesor Dato' Yuserrie Zainuddin dan delegasi turut berkesempatan menyampaikan sijil penghargaan kepada sepuluh orang delegasi pelajar Malaysia yang terlibat dalam program Chinese Bridge Mandarin Summer Camp 2023 yang berlangsung selama dua minggu di HBU. 

Selain pelajar UMPSA, seorang pelajar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga turut terlibat dengan Summer Camp ini. 

Delegasi turut berpeluang melawat sekitar kampus HBU.

Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Yuserrie turut menyantuni seramai 17 orang pelajar  UMPSA yang terlibat dengan program mobility Summer Camp dan mereka yang melanjutkan pengajian di  peringkat ijazah di HBU. 

Turut sama dalam lawatan ini adalah Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jamalulail Abu Bakar, Ketua Penolong Pengarah Penajaan, Yayasan Terengganu, Syarifah Fatzhiyah Syed Ahmad dan Pengarah Confucius Institut UMPSA, Yong Ying Mei serta barisan dekan fakulti UMPSA.

Disediakan oleh: Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Ferdaus