Skip to main content

UMPSA jalin kerjasama dengan Islamic Azad University, Iran

IRAN,  8 Oktober 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan jenamanya melalui visibility (keterlihatan) dan reputasi sebagai universiti teknologi terunggul dengan menandatangani MoU berkaitan sains dan teknologi bersama Islamic Azad University, Republik Islam Iran yang merupakan institusi pendidikan komprehensif terbesar di dunia. 

Dalam majlis itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden Islamic Azad University, Profesor Dr. Mohamad Mehdi Teranchi hadir menyaksikan Majlis Menandatangani dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dengan Canselor Islamic Azad University (Isfahan Branch), Profesor Dr. Payam Najafi. 

UMPSA jalin kerjasama dengan Islamic Azad University, Iran

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie, selari dengan keutamaan fokus kedua-dua universiti, kerjasama ini menyentuh penyelidikan berkaitan cabaran perubahan iklim, kemampanan hidup, keselamatan siber, teknologi nano dan bioteknologi serta kecerdasan buatan (AI). 

“Selain itu kerjasama turut membabitkan bidang akademik, pelajar dan penerbitan bersama seperti pertukaran staf, mobiliti pelajar, pengkomersialan ilmu dan kerjasama dengan taman sains dan teknologi,” katanya. 

Dalam pada itu, menurut Dato' Seri Mohamed Khaled semasa memberi syarahan umumnya, beliau turut menekankan akan keperluan IPT untuk bekerjasama dengan dunia luar bagi membantu menangani isu global seperti perubahan iklim, keterjaminan makanan (food security) dan pendidikan. 

Beliau turut menggesa para saintis di IPT agar dapat bekerjasama dengan saintis di Republik Islam Iran dalam memanfaatkan kepakaran mereka dalam bidang masing-masing.  

Disediakan oleh: Mohd. Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Ferdaus