UMPSA memperkukuh kecekapan staf melalui program sangkutan di MING CHI University of Technology, Taiwan
PEKAN, 22 September 2025 - Dua staf pentadbiran melalui kumpulan pertama peserta mobilti staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) iaitu Pegawai Sains Kanan, Pusat Pengurusan Penyelidikan, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Idayu Mat Ali, dan Penolong Pegawai Sains, Makmal Berpusat, Fazlina Ibarhim telah menyertai Program Sangkutan Kerja bagi Peningkatan Kompetensi (Luar Negara) di Ming Chi University of Technology (MCUT), Taiwan bermula 22 hingga 26 September 2025.
Inisiatif program mobiliti staf ini adalah selari dengan Agenda Transformasi 1 Amanat Naib Canselor UMPSA tahun 2025 iaitu Memperkukuh dan Memajukan Potensi Individu yang menekankan kepada pembangunan bakat, pemerkayaan ilmu serta kemahiran, di samping memperkukuh agenda pengantarabangsaan universiti.
Menurut Idayu, melalui pelaksanaan inisiatif ini, staf diberi peluang untuk mengikuti penempatan jangka pendek di institusi luar negara bagi memperkukuh pengetahuan, kemahiran serta amalan terbaik dalam bidang masing-masing.
“Ia juga bertujuan memperkasa kecekapan dan profesionalisme staf bukan akademik melalui pendedahan kepada ekosistem global.
“Sepanjang program, kami telah terlibat dalam sesi taklimat, perbincangan dan perkongsian ilmu bersama beberapa pusat tanggungjawab.
“Perbincangan bersama Pusat Pengurusan Penyelidikan menumpukan kepada sistem sokongan penyelidikan dan pembangunan kapasiti penyelidik,” ujarnya.
Manakala bagi sesi bersama Pusat Kolaborasi Industri-Universiti pula katanya, ia memperincikan model kolaborasi strategik yang menggalakkan penglibatan industri dalam penyelidikan.
“Bersama Pusat Inovasi dan Inkubasi, kami berpeluang memahami proses pengkomersialan hasil penyelidikan dan strategi memperkasa ekosistem inovasi.
“Sementara itu, sesi bersama Jabatan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar memberi pendedahan kepada amalan terbaik dalam memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan makmal dan kelestarian persekitaran kampus.
“Malah, kami juga diberi peluang melihat fasiliti makmal penyelidikan dan makmal pengajaran di beberapa fakulti dan pusat kecemerlangan di MCUT yang dilengkapi dengan kemudahan berteknologi tinggi,” katanya.
Secara keseluruhanya, mereka berpandangan bahawa program ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh agenda pembangunan modal insan yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global.

Jelas Idayu lagi, melalui inisiatif sangkutan kerja ini, mereka diberi peluang untuk menimba pengalaman antarabangsa yang bermakna, mendalami budaya kerja dan sistem pengurusan universiti luar negara serta memperluas jaringan profesional dan akademik.
“Pengalaman ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan dan kemahiran, malah membuka ruang untuk kami mengadaptasi pendekatan baharu serta amalan terbaik yang relevan dengan keperluan universiti masa kini.
“Pendedahan yang diperoleh di Ming Chi University of Technology, Taiwan turut memberi inspirasi kepada kami untuk menerapkan nilai inovasi, disiplin dan profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab di UMPSA,” tambahnya.
Program ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kerja, produktiviti dan budaya kecemerlangan dalam kalangan warga universiti, sejajar dengan aspirasi UMPSA untuk melahirkan tenaga kerja berfikiran global, berintegriti tinggi dan berupaya menyumbang secara signifikan kepada kecemerlangan universiti di peringkat antarabangsa.
Disediakan Oleh: Idayu Mat Ali, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi
- 40 views
Reports by: