UMPSA memperkukuh peranan global di APAIE 2026
HONG KONG, 24 Februari 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranan dan keterlihatan globalnya melalui penyertaan strategik dalam Asia-Pacific Association for International Education (APAIE) 2026 yang berlangsung di Hong Kong Convention and Exhibition Centre dari 24 hingga 26 Februari 2026.
Delegasi UMPSA diketuai oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bersama Pengarah UMPSA Global, Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi dan Nur Ezzati Mohd Nasir.
Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias telah menyertai Presidents’ Dialogue, sebuah forum kepimpinan berprofil tinggi yang menghimpunkan Presiden dan Naib Canselor daripada 44 universiti terkemuka dunia, termasuk institusi dari Hong Kong, New Zealand, Jepun, Thailand, Qatar, Korea Selatan, Australia, Kanada, Rusia, Singapura dan Vietnam.
Menurutnya, dialog tersebut memberi tumpuan kepada strategi memperkukuh daya tahan institusi, membina kepercayaan rentas sempadan serta memperkasa inovasi dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompleks dan dinamik.
Beliau turut dijemput sebagai panel dalam sesi bertajuk Mobilising Partnerships, Advancing Global Good: North–South and South–South Collaboration in Higher Education yang dipengerusikan oleh Deputy Vice-Chancellor (Strategic Engagement), University of Auckland, Profesor Erik Lithander.

Dalam sesi tersebut, beliau menekankan kepentingan model kerjasama North–South dan South–South yang memfokuskan kepada pemindahan kepakaran, pembangunan bakat global serta pengukuhan kapasiti institusi melalui pelaksanaan program ijazah dual, mobiliti berstruktur dan kolaborasi industri yang mampan.
Wakil UMPSA Global, Nur Ezzati Mohd Nasir turut terlibat dalam sesi Reimagining Mobility: Intra-Asia and South–South Partnerships Driving Global Impact yang membincangkan pendekatan baharu mobiliti serantau yang lebih inklusif dan berimpak tinggi, khususnya dalam konteks Asia dan Global South.
Sesi ini turut melibatkan wakil dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Shibaura Institute of Technology dan Institut Teknologi Sepuluh Nopember, Surabaya.
Di samping penglibatan dalam sesi pembentangan, UMPSA turut mengadakan beberapa pertemuan strategik dua hala.
Sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) telah berlangsung di antara UMPSA dengan Southern Alberta Institute of Technology (SAIT), Kanada yang melibatkan Associate Vice-President, International SAIT, Werner Beylefeld.
UMPSA juga mengadakan perbincangan strategik bersama University of Aveiro, Portugal yang diwakili oleh Vice-Rector for Research, Innovation and Training, Vice-Rector for Teaching and Training, Profesor Artur Silva dan Profesor Sandra Soares.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada penerokaan kolaborasi dalam bidang penyelidikan strategik, inovasi serta pembangunan program akademik bersama.
Sesi perbincangan bersama ITMO University dan University of Glasgow pula telah diselaraskan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi dengan fokus kepada peluasan mobiliti dua hala, pembangunan program akademik bersama serta potensi kolaborasi penyelidikan dalam bidang strategik.
Penyertaan komprehensif ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh kedudukannya sebagai universiti teknikal berdaya saing global serta rakan strategik yang diyakini pada peringkat antarabangsa.
Lebih signifikan, UMPSA bersama rakan institusi di Malaysia bakal menjadi penganjur bersama APAIE 2027 di Kuala Lumpur, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serantau dan memperluas impak kerjasama antarabangsa yang berteraskan nilai, inovasi dan kecemerlangan institusi.
Disediakan Oleh: Nur Ezzati Mohd Nasir, Pusat Jaringan Global
- 31 views
Reports by: