UMPSA perkukuh komitmen Agenda Kelestarian Global dalam Ekspo Osaka 2025
OSAKA, JEPUN, 21 Julai 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmennya terhadap Agenda Kelestarian Global menerusi penyertaan dalam Minggu Pendidikan Tinggi Malaysia di Ekspo Osaka 2025 yang berlangsung mulai 21 hingga 27 Julai 2025 ini.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Education Malaysia Global Services (EMGS) itu adalah sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan tinggi dan juga penyelidikan.
Antara sorotan utama pada hari pertama ialah sesi podcast bertajuk ‘ESG and Sustainability: Navigating Carbon Net Zero’ yang menampilkan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias bersama Pengarah Pusat Penyelidikan Neutraliti Karbon (CNRC), Universiti Kansai, Profesor Dr. Masato Ueda.
Dalam sesi tersebut, Profesor Dr. Yatimah berkongsi aspirasi UMPSA untuk menjadi Eco-university sepenuhnya menjelang tahun 2030 berteraskan pelaksanaan Pelan Induk Kampus Lestari, projek tenaga solar komuniti serta pengintegrasian nilai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kurikulum dan tadbir urus universiti.

Manakala Profesor Dr. Ueda pula turut berkongsi pelbagai inisiatif lestari yang dilaksanakan Universiti Kansai termasuk pemuliharaan laut, teknologi perubatan regeneratif dan pemulihan terumbu karang melalui pendekatan bio-kejuruteraan.
Turut berlangsung, sesi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara Profesor Dr. Yatimah Alias mewakili UMPSA dan Presiden Hokoku Co. Ltd., Ei Tsukamoto.

Menurut Profesor Dr. Yatimah, kerjasama ini melibatkan kolaborasi penyelidikan dalam projek ‘Feasibility Study of Screw Weight Sounding (SWS) Test Usage in Malaysia and Data Integration with Malaysia Jiban System (MYJIS)’ yang dijangka menyumbang kepada pembangunan penyelesaian kejuruteraan tanah yang lebih mampan.
“UMPSA juga mengambil bahagian dalam pameran penyelidikan dan inovasi dengan mempamerkan produk mesra alam iaitu ‘Biodegradable and Halal Food Grade Grease’ yang dihasilkan penyelidik UMPSA.
“Produk yang diperbuat daripada minyak ini berasaskan tumbuhan dan bebas toksik sesuai digunakan dalam industri makanan dan farmaseutikal.
“Ia direka untuk aplikasi suhu tinggi dalam industri serta menyokong matlamat sifar bersih karbon,” ujarnya.
Penyertaan UMPSA di Ekspo 2025 Osaka ini menyerlahkan usaha berterusan universiti dalam menyokong Agenda Pembangunan Mampan (SDG), memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, dan memperkasa inovasi lestari dalam pendidikan tinggi.
Disediakan Oleh: Nur Ezzaty Mohd Nasir, UMPSA Global
- 71 views
Reports by: