Skip to main content

UMPSA rintis kerjasama antarabangsa baharu dengan Mohamed Bin Zayed University for Humanities (MBZUH)

ABU DHABI, 3 Oktober 2024 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMPSA dan Mohamed Bin Zayed University for Humanities (MBZUH) dengan disaksikan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga merupakan Tuanku Pro-Canselor UMPSA. 

UMPSA menjunjung setinggi-tinggi kasih atas cetusan idea bagi kerjasama ini hasil hubungan baik Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang juga merupakan Canselor UMPSA dengan Raja Pemerintah UAE Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan bagi memastikan institusi pendidikan tinggi di negeri Pahang Darul Makmur terus maju dan cemerlang. 

Menurut Profesor Dato’ Yuserrie, MoU ini menzahirkan komitmen UMPSA untuk terus mengembangkan pendidikan, penyelidikan dan pertukaran budaya di peringkat antarabangsa. 

UMPSA rintis kerjasama antarabangsa baharu dengan Mohamed Bin Zayed University for Humanities (MBZUH)

“Antara kerjasama yang dirintis meliputi bidang akademik, penyelidikan, penerbitan, mobiliti staf dan pelajar, program ijazah lanjutan, program ijazah dual serta penglibatan MBZUH dalam lembaga penyuntingan Journal of Humanities, Technology and Civilization bersama UMPSA,” katanya ketika menyampaikan ucapan. 

Manakala menurut Canselor MBZUH, Dr. Khalifa Mubarak Al Dhaheri, pemeteraian MoU ini mencerminkan peranan MBZUH dalam memupuk perkongsian saintifik dengan institusi pendidikan antarabangsa, menonjolkan nilai pertukaran kepakaran dan ke arah kerjasama strategik masa hadapan. 

Selain UMPSA, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) turut menandatangani MoU dengan pihak MBZUH. 

Turut sama hadir dalam majlis, YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah yang juga merupakan Pro-Canselor UniPSAS, Dr. Mohamed Rashed Al Hameli, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MBZUH, Exco-exco Kerajaan Negeri Pahang dan Dekan Pusat Bahasa Moden UMPSA, Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi,

Dalam pada itu, Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita turut mengadakan perbincangan bersama Dekan Kolej Sastera dan Bahasa MBZUH , Profesor Fawzi Al Ghazali, berkaitan pertukaran staf, pelajar bahasa Inggeris dan Arab, nasihat pakar dalam pembangunan program akademik serta program ijazah bersama.

Disediakan Oleh: Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri