Skip to main content

UMPSA sertai Program Mobiliti Staf Antarabangsa 2024 Indonesia bagi memperkukuh hubungan jalinan antarabangsa

SURABAYA, 11 Oktober 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan dengan penyertaan dua peserta bukan akademik bagi menyertai Program Mobiliti Staf Antarabangsa 2024 yang dianjurkan oleh Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Surabaya, Indonesia. 

Program itu juga turut menghimpunkan para peserta dari beberapa negara termasuk Rusia, Poland, Jepun, Filipina, Vietnam, Thailand, dan Malaysia, dengan penyertaan seramai 29 staf antarabangsa.

Program yang berlangsung pada 7 hingga 11 Oktober itu bertujuan untuk memperluas pengetahuan para peserta tentang pelbagai inisiatif pengantarabangsaan yang sedang dijalankan oleh ITS dan membina jaringan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, dan pertukaran pelajar serta staf antara institusi-institusi pengajian tinggi antarabangsa.

UMPSA sertai Program Mobiliti Staf Antarabangsa 2024 Indonesia bagi memperkukuh hubungan jalinan antarabangsa

Selain itu, peserta turut berpeluang melawat fasiliti canggih di Kampus ITS dan mendalami kebudayaan Indonesia.

ITS yang ditubuhkan pada tahun 1960 di Surabaya adalah sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka di Indonesia yang berfokus pada Sains dan Teknologi, khususnya dalam industri maritim.

Universiti ini mempunyai lebih daripada 27,000 pelajar dan pernah menduduki tempat pertama di Indonesia dalam penarafan Times Higher Education (THE Ranking) pada tahun 2021. 

ITS terus menjadi rujukan utama universiti-universiti di Indonesia dalam bidang pendidikan, penyelidikan, serta program komuniti.

UMPSA diwakili oleh Pengurus Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Azrizulazmi Bustan dan Eksekutif, Pusat Hubungan Antarabangsa, Muhammad Zufli Zuhari

Sepanjang program, peserta dibawa mendalami pengalaman dalam bidang pengantarabangsaan melalui sesi bersama ITS Global Engagement yang merangkumi topik-topik seperti kemasukan pelajar, mobiliti staf, dan aktiviti sukarelawan pelajar.

Kunjungan ke beberapa jabatan dan unit di ITS pada 9 Oktober turut memberi peluang kepada peserta untuk memahami lebih dekat kemudahan akademik yang ditawarkan sekali gus bertukar pendapat bersama peserta yang lain.

Kedua-dua wakil UMPSA turut serta dalam pelbagai aktiviti yang diatur oleh ITS, termasuk lawatan ke fakulti dan pejabat ITS Global Engagement, pertemuan dengan pengarah-pengarah Pejabat Antarabangsa dari universiti-universiti di Indonesia, sesi promosi kerjasama antarabangsa, serta persembahan kebudayaan oleh pelajar-pelajar ITS.

Menurut Azrizulazmi Bustan, program ini bukan sahaja membuka peluang kepada mereka untuk memahami dengan lebih mendalam pendekatan pengantarabangsaan yang diterapkan oleh ITS, tetapi juga mengeratkan hubungan dua hala di antara UMPSA dengan ITS, serta membina jaringan kerjasama baru pada peringkat global. 

“Pengalaman ini sangat berharga untuk kami bawa pulang dan aplikasikan dalam konteks UMPSA. 

“Kami juga diberi peluang untuk berinteraksi dengan pengarah-pengarah pejabat antarabangsa universiti terkemuka di Indonesia bagi jalinan hubungan kerjasama dengan UMPSA, termasuk dengan mempamerkan promosi untuk pelajar ITS yang berminat menyambung pengajian di luar negara. 

“Diharapkan melalui penyertaan dalam program ini, UMPSA dapat terus memperkukuh hubungan antarabangsa dengan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik di antara Malaysia dan negara antarabangsa dalam bidang akademik dan penyelidikan serta kerjasama khususnya,” ujarnya. 

Program telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Organisasi Sumber Manusia dan Sistem Informasi ITS, Profesor Madya Dr. Iman Baihaqi dengan kehadiran Pengarah ITS Global Engagement, Profesor Madya Dr. Maria Anityasari.

Disedaiakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Hubungan Antarabangsa

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri