UMPSA teroka kerjasama dwiijazah aeroangkasa bersama universiti terkemuka Jerman dan UK
UNITED KINGDOM, 17 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan kerjasama akademik antarabangsa dalam bidang aeroangkasa menerusi lawatan akademik dan penandaarasan ke Hochschule Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Jerman dan University of Sheffield, United Kingdom yang berlangsung pada 9 hingga 17 Jun 2026.
Delegasi UMPSA diketuai oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Profesor Ir. Dr. Ahmad Razlan Yusoff bersama Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham Ghazali serta Pengurus FTKPM, Encik Hazman bin Abdul.
Menurut Profesor Ir. Dr. Ahmad Razlan, lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan strategik sedia ada, meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang aeroangkasa serta melaksanakan penandaarasan terhadap amalan terbaik institusi bertaraf antarabangsa.
“Semasa berada di HKA, delegasi UMPSA telah disambut mesra oleh dekan fakulti, Profesor Robert Weiss bersama Profesor Maurice Kettner dan Profesor Dr. Reza Ahmadi.
“Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat rasmi yang disampaikan oleh Profesor Dr.-Ing. Rainer Neumann, Naib Presiden Hal Ehwal Akademik HKA yang memperincikan hala tuju strategik universiti, pencapaian akademik serta inisiatif pengantarabangsaan yang dilaksanakan oleh institusi tersebut.
Delegasi turut mengikuti sesi taklimat khas berkaitan bidang aeroangkasa yang disampaikan oleh Profesor Dr. Reza Ahmadi,” katanya.
Tambah beliau, taklimat tersebut memberi pendedahan mengenai perkembangan terkini dalam pendidikan dan penyelidikan aeroangkasa di HKA, termasuk aspek pembangunan kurikulum, kerjasama industri serta projek penyelidikan berimpak tinggi.
“Pada sebelah petang, delegasi berpeluang melawat beberapa makmal dan kemudahan penyelidikan canggih di HKA, khususnya makmal aeroangkasa dan automotif.
“Lawatan ini membolehkan delegasi meninjau kemudahan pengajaran dan penyelidikan terkini yang menyokong pembangunan bakat serta inovasi teknologi dalam kedua-dua bidang tersebut.
“Selain program akademik dan penandaarasan, delegasi UMPSA turut mengadakan sesi pertemuan bersama pelajar-pelajar UMPSA yang sedang menjalani mobiliti berkredit dan latihan industri antarabangsa di HKA, Karlsruhe, Jerman,” ujarnya.

Beliau turut berkata, pertemuan tersebut bertujuan untuk meninjau perkembangan semasa pelajar, mendapatkan maklum balas berkaitan pengalaman mereka sepanjang menjalani projek tahun akhir, mengambil kursus di HKA serta latihan industri di luar negara serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa terpelihara.
“Seramai sembilan orang pelajar UMPSA yang mengikuti program dwiijazah bersama HKA dalam bidang mekatronik, automotif dan elektrik kini sedang menjalani latihan industri dan projek tahun akhir di beberapa syarikat di sekitar Karlsruhe, Jerman.
“Pelajar-pelajar berkenaan berkongsi pengalaman berharga mereka dalam menyesuaikan diri dengan budaya kerja antarabangsa, selain berpeluang mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang pengajian dalam persekitaran industri sebenar,” katanya.
Sementara itu, Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham turut menambah, siri lawatan akademik ke institusi pendidikan tinggi terkemuka di Eropah ini diteruskan lagi apabila UMPSA mengadakan lawatan akademik dan sesi penandaarasan di University of Sheffield, Sheffield, UK pada 15 Jun 2026.
“Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Dr. Alistair John daripada School of Mechanical, Aerospace and Civil Engineering yang juga merupakan ketua program kejuruteraan aeroangkasa di University of Sheffield.
“Dalam sesi tersebut, Dr. Alistair telah berkongsi mengenai struktur program akademik, pendekatan pengajaran dan pembelajaran, kemudahan penyelidikan serta perkembangan terkini dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa di universiti berkenaan.
“Kami turut diberikan pendedahan berkaitan inisiatif kerjasama industri yang dilaksanakan oleh University of Sheffield dalam memperkukuhkan ekosistem pendidikan dan penyelidikan berteraskan inovasi,” katanya.
Selain sesi taklimat, beliau menambah, mereka telah dibawa melawat Engineering Heartspace atau Pusat Kejuruteraan yang menempatkan pelbagai kemudahan pembelajaran kejuruteraan umum dan penyelidikan moden bagi menyokong pembangunan pelajar dalam semua bidang kejuruteraan, terutamanya dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa.
“Lawatan seterusnya diteruskan ke Advanced Manufacturing Research Centre (AMRC), Sheffield, UK sebuah pusat penyelidikan berkonsepkan kilang masa hadapan dalam bidang aeroangkasa bersama pihak Boeing dan Airbus.
“Semasa lawatan tersebut, kami berpeluang meninjau pelbagai kemudahan penyelidikan berteknologi tinggi serta memahami model kerjasama strategik antara universiti dan industri yang menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi dan inovasi dalam bidang aeroangkasa,” katanya.
Lawatan akademik dan penandaarasan antarabangsa ke Jerman dan United Kingdom ini telah memberikan impak yang sangat signifikan dalam melonjakkan profil akademik serta agenda pengantarabangsaan UMPSA.
Kejayaan lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik sedia ada, malah membuktikan kesediaan penuh UMPSA untuk program dwiijazah (dual degree) dalam bidang aeroangkasa.
Pendedahan secara langsung terhadap fasiliti canggih di HKA serta model kerjasama berkonsepkan kilang masa hadapan di AMRC bersama gergasi industri seperti Boeing dan Airbus, bakal menjadi rujukan penting bagi UMPSA dalam membangunkan kurikulum kejuruteraan aeroangkasa yang berdaya saing tinggi.
Di samping memastikan kebajikan dan perkembangan pelajar program dwiijazah sedia ada terus terpelihara di luar negara, impak positif daripada lawatan strategik ini secara keseluruhannya bakal memperkasakan ekosistem pendidikan berteraskan inovasi di UMPSA demi melahirkan modal insan tempatan yang kompeten pada peringkat global.
Disediakan Oleh: Hazman Abdul, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM)
- 253 views
Reports by: