Skip to main content

UMP, ADK Solution jalin kerjasama dalam bidang sanitasi awam di industri penerbangan dan rel

KUALA LUMPUR, 12 April 2021 - Pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia memberi kesedaran buat semua pihak agar mengambil langkah tambahan bagi memastikan risiko pendedahan diminimumkan untuk keselamatan semua terutamanya penumpang dan kakitangan yang bekerja dalam sektor pengangkutan awam di negara ini.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan ADK Solutions Sdn. Bhd. (ADK) meneroka peluang kerjasama dan berkongsi kepakaran dalam bidang sanitasi awam menggunakan bahan disinfectant iaitu Diaclean Pera Sterilant.

Diaclean Pera Sterilant terbukti berkesan dalam membunuh human coronavirus agar penyakit berjangkit Covid-19 dapat dibendung dan dikawal secara efektif mengikut tatacara pembersihan dan disinfeksi di tempat awam.
 
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, kolaborasi ini memberi peluang UMP berkongsi kepakaran teknologi, nasihat teknikal dan konsultansi.
 
“Diaclean Pera Sterilant telah dihasilkan oleh teknologi tempatan sebagai disinfektan organik kelas tinggi (HDL) oleh anak syarikat UMP iaitu UMP Renal Care Sdn. Bhd. yang merupakan pengeluar teknologi bahan aktif Asid Peracetik yang pertama di Malaysia. 

“Manakala pihak ADK Solution Sdn. Bhd. pula menjalankan servis pencucian dan disinfeksi kapal-kapal terbang di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA),” katanya semasa menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di KLIA baru-baru ini yang  mewakili UMP bersama Pengarah  UMP Renal Care Sdn. Bhd., Profesor Dato’ Dr. Ts. Dr Zularisam Ab. Wahid.

ADK Solution Sdn. Bhd. pula diwakili oleh  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Shaiful Amri Md Aris. 

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan ADK, Dato’ Adam Khan Omar Khan, Ketua Pegawai Operasi ADK, Nor Azniza Othman.  

Menurut Shaiful Amri, Diaclean Pera Sterilant telah diuji pakai ke atas beberapa buah pesawat penumpang dan kargo selain telah diterima baik penggunaannya oleh beberapa syarikat penerbangan.

“Hasil aplikasi tersebut amat membanggakan dan ia terbukti berkesan dalam mencegah dan mengawal daripada berlakunya sebarang penularan penyakit Covid-19 sama ada di Malaysia mahupun ke negara di mana pesawat penumpang atau kargo tersebut mendarat. 

“Kami juga turut menjalankan servis nyah cemar di beberapa pesawat penumpang, pesawat kargo, bahagian logistik barangan, warehouse dan pejabat-pejabat operasi penerbangan,” katanya. 

Dalam pada itu, Profesor Dato’ Dr. Ts. Dr Zularisam berkata, Diaclean Pera Sterilant mematuhi piawaian WHO, United Environmental Protection Agency (USEPA) sebagai bahan aktif yang mampu membunuh virus Covid-19. 

“Ia merupakan disinfectant organik berasaskan cuka makanan keluaran tempatan pertama di Malaysia yang telah mendapat pensijilan MDA Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Halal Jakim.

“Selain bersifat mesra alam readily biodegradable, non corrosive dan non irritating, ia terbukti mampu membunuh human coronavirus dalam masa kurang daripada dua minit oleh makmal pengujian virucidal activity antarabangsa iaitu Viroxy Lab.

Diaclean Pera Sterilant adalah bersifat food grade, mesra pengguna dan  mesra alam serta sesuai digunakan bagi tujuan sanitasi awam seperti  di kawasan perumahan, kedai makanan, sekolah, taska, pejabat kerajaan dan swasta, pusat pengajian tinggi, kilang, rumah ibadat dan pesawat kapal terbang penumpang dan kargo dalam industri penerbangan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA),” ujarnya. 

Menerusi hasil kerjasama ini juga katanya, pihaknya berhasrat melebarkan penggunaan Diaclean Pera Strilant di dalam industri rel transit penumpang seperti Perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT), Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (MRT), perkhidmatan monorel dan komuter serta melibatkan industri pengangkutan awam lain seperti  teksi, feri dan bas yang  berpotensi untuk diterokai. 

“Selain berfungsi sebagai disinfektan nyah cemar permukaan, Diaclean Pera Sterilant juga sangat sesuai digunakan sebagai bahan disinfeksi di industri penternakan, perladangan, pensterilan alatan perubatan, tenusu dan rawatan air dan air sisa,” katanya. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit