Skip to main content

UMP dan PTTSB metrai perjanjian bakal tawar Program Sarjana Operasi Loji Proses

Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan PETRONAS Technical Training Sdn Bhd (PTTSB) hari ini memetrai perjanjian perkhidmatan dalam menjalinkan kerjasama dalam enam bidang termasuk program latihan, projek kerjasama, pemasaran dan jualan, fasiliti latihan, teknikal, teknologi dan perisian.

 

Melalui kerjasama ini juga UMP bakal menawarkan program Sarjana Operasi Loji Proses yang akan dijalankan di kampus universiti dan di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) mulai September 2018. 

 

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Prof. Dato ' Sri ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Technical Training Sdn Bhd, Chandramohan M Saminathan menandatangani  perjanjian. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dato' ts. Dr. Rosli Mohd Yunus dan Ketua Perancangan Strategik, PTTSB, Wan M. Muzani Wan Muda. Turut hadir pada majlis menandatangani adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato' Dr. Mashitah Mohd Yusof, Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Prof. Zulkafli Hassan, Pendaftar, Abd. Hamid Majid  dan pegawai daripada PTTSB dan UMP.

 

Menurut Prof. Dato' Sri Dr Daing Nasir, Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) telah memberikan dorongan baharu kepada transformasi pendidikan tinggi yang menuntut perubahan dalam arus pendidikan serta teknikal.

 

"Saya percaya dengan sokongan INSTEP ini kita dapat  memenuhi keperluan IR 4.0 dengan corak pembelajaran yang lebih fleksibel. Kerjasama ini mula terjalin dengan termetrainya memorandum persefahaman kedua-dua pihak sejak tahun 2016 dan penganjuran persidangan ‘International Conference of Chemical Engineering & Industrial Biotechnology (ICCEIB) di Melaka,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak UMP Pekan.

 

Malahan UMP dan PTTSB juga telah berkolaborasi dalam menjalankan bengkel, mesyuarat dan perbincangan bagi penawaran Program Sarjana Operasi Loji Proses yang telah mendapat akreditasi pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Beliau mengharapkan perkongsian dalam kepakaran ini memanfaatkan kedua-dua pihak terutamanya dari segi pembangunan profesional dan penjanaan tenaga insan.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi