Skip to main content

UMP, Huawei Services (Hong Kong) Co., Limited tingkat kerjasama dalam bidang telekomunikasi dan teknologi aplikasi mudah alih

KUALA LUMPUR, 4 Julai 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Huawei Services (Hong Kong) Co., Limited yang berlangsung di Huawei Technologies, Intermark Kuala Lumpur baru-baru ini. 

MoU itu adalah hasil kerjasama akademik bagi membangunkan program latihan, webinar, bengkel, Hackaton, Huawei Developer Group dan perkongsian kepakaran untuk manfaat bersama.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Teknikal Huawei Mobile Services (HMS), Asia Afrika dan Amerika Latin, Charles Li Guo Liang bertukar dokumen MoU.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor ( kademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Dekan Fakulti Komputeran (FK), Profesor Madya Ts. Dr Adzhar Kamaludin dan Talent Ecosystem Manager, Malaysia Enterprise Partner Development Department, Malaysia, Astee Chan Poh Ting.

Turut serta Jurutera Kanan, Pasukan Pembangunan HMS, Mr. Tan Wei Cong dan Pakar Sumber Manusia Jabatan Pembangunan Sumber Manusia APAC, Ho Jia Yun.

UMP, Huawei Services (Hong Kong) Co., Limited tingkat kerjasama dalam bidang telekomunikasi dan teknologi aplikasi mudah alih

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMP dan Huawei Services (Hong Kong) Co., Limited akan saling bekerjasama bagi membentuk program kemahiran teknologi yang dapat menambah baik kebolehan, kepakaran digital dan kemahiran yang kompeten selain membangunkan kapasiti graduan melalui pendedahan kepada keperluan sebenar industri.

“Menerusi MoU yang dimeterai ini juga bakal meneroka kerjasama dalam pembangunan bandar pintar menggunakan teknologi telekomunikasi tercanggih bagi pembangunan projek kampus pintar, UMP-Huawei Smart City yang juga akan menyumbang ke arah mencapai pembangunan lestari di Malaysia.

“Kerjasama ini seiring dengan hasrat universiti dalam Pelan Straregik UMP 2021-2025 dalam memperkasa kolaborasi strategik dengan industri dalam dan luar negara. 

“Sehingga kini, seramai 30 staf dan pelajar telah menerima sijil profesional dalam Kursus Asas Huawei Mobile Services (HMS) yang dilaksanakan hasil kolaborasi dengan pihak Huawei,” ujarnya. 

UMP, Huawei Services (Hong Kong) Co., Limited tingkat kerjasama dalam bidang telekomunikasi dan teknologi aplikasi mudah alih

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie percaya dengan keupayaan, kepakaran dan kerjasama antara UMP dan Huawei dalam bidang teknologi termaju, elektrik dan elektronik serta dengan fasiliti canggih yang disediakan Huawei, program ini akan meningkatkan kemahiran dan daya saing yang mampan dalam kalangan rakyat Malaysia serta mengembangkan kumpulan bakat tempatan. 

Turut berlangsung perbincangan aktiviti dan program kerjasama UMP bersama Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies Malaysia Sdn. Bhd, Micheal Yuan dalam Program CEO@Faculty dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat, penyelidikan, penambahbaikan program akademik dari pandangan industri serta program sangkutan staf. 

Program CEO@Faculty merupakan salah satu inisiatif yang memberikan platform kepada tokoh-tokoh industri dan juga perkhidmatan awam untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan kepakaran dengan pihak akademia. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit