Skip to main content
mou-ump-mypride-1

UMP jalin kerjasama pengurusan Produk MyPride Jabatan Penjara

Pekan, 17 Oktober- Universiti Malaysia Pahang (UMP) melakar sejarah apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Penjara Malaysia dalam pengurusan  Produk MyPride iaitu produk yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia.

Melalui kerjasama ini Pusat Keusahawanan UMP dan Fakulti Pengurusan Industri (FIM) akan menerajui program pemasaran produk MyPride bersama Jabatan Penjara Malaysia dengan aplikasi sistem dan teknologi atas talian iaitu Portal “Moh Beli” iaitu sebuah portal atas talian yang dibangunkan bersama oleh UMP Holdings Bhd iaitu sebuah syarikat milik penuh Universiti ini dan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi UMP.

Perkongsian pintar ini juga memberi pendedahan  kepada mahasiswa UMP dan masyarakat mengenai program pemulihan dan latihan kemahiran yang dijalankan selain membuka laluan kerjaya dan kebolehpasaran bekas penghuni mendapatkan pekerjaan.

Hadir dalam majlis menandatangani MoU adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd Yunus, Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Haji Nordin Haji Muhamad, Pendaftar UMP, Abd. Hamid Majid dan Timbalan Pengarah Pengurusan Banduan (Vokasional dan Industri), Dato’ Mohd. Sakeri Haji Dollah.

Menurut Profesor Dato’ Dr. Rosli berkata, dalam mengembangkan potensi kewujudannya lebih dari sebuah menara gading dan gedung ilmu pengetahuan, UMP berupaya memberi manfaat kepada masyarakat melalui khidmat kepakaran intelektual dan penyelidikannya.

“Program keusahawanan ini akan turut menyaksikan penyertaan mahasiswa UMP yang terpilih di mana mereka bukan sahaja akan menerima pendedahan praktikal mengenai teknik pencarian solusi bisnes, tetapi juga berpeluang menimba pengalaman aspek pemasaran, strategi penjualan, pengurusan inventori, rekod kewangan, khidmat pelanggan dan lain-lain,” katanya yang hadir membacakan teks ucapan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Usaha ini juga sebahagian daripada usaha UMP dalam merealisasikan Pelan Strategik UMP 2016-2020 bertemakan “Memasyarakatkan Teknologi” mencakupi aspek teknologi yang lebih luas seperti pengetahuan baharu, pembangunan proses, sistem dan standard, pengenalpastian solusi serta perkara lain seumpamanya yang dirujuk sebagai soft technology.

Katanya, walaupun penggunaan media sosial seperti Instagram, Facebook dan Whatsapp bukan merupakan sesuatu yang asing dalam kecanggihan perdagangan elektronik pada hari ini, namun tanpa strategi pemasaran dan penjenamaan yang bijak dan beretika, produk yang berkualiti tinggi dengan manfaat nilai untuk pelanggan tidak mungkin dapat dipasarkan dengan cekap kepada bakal-bakal pelanggan.

Selain itu, bagi menjayakan kerjasama ini, Pusat Keusahawanan UMP telah mengenalpasti satu lot perniagaan di premis Kolej Kediaman 4 di UMP Kampus Gambang yang akan dilengkapkan dengan peralatan yang secukupnya sebagai sebuah pusat jualan produk yang dikeluarkan Jabatan Penjara Malaysia. Pada peringkat permulaan ini, hasil kraftangan, batik, songket dan makanan merupakan produk pilihan untuk dipasarkan oleh UMP.

Prospek kerjasama kedua-dua pihak menerusi Strategi Lautan Biru (NBOS)  antara Universiti Awam dan Agensi Kerajaan ini turut menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dapat dimanfaatkan dengan memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Turut berlangsung pameran produk dan barangan dihasilkan oleh Jabatan Penjara. Majlis dihadiri Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan & Koreksional), Dato’ Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan dan Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Prof Madya Dr. Ridzuan Darun.

Disediakan Bahagian Komunikasi dan Korporat PNC

Reports by:
Admin UMP News