UMP, TERAJU pertingkat kelestarian pembangunan bumiputera dalam projek pertanian
KUANTAN, 23 Oktober 2021 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang bakal membuka peluang para usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (kumpulan B40) menghasilkan produk pertanian (cili dan terung) ke pasaran setempat melalui Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB).
DPUB merupakan gabungan antara Sistem IoT (Internet of Things) dan fertigasi bagi memudahkan golongan B40.
Majlis menandatangani perjanjian itu menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menandatangani perjanjian bagi pihak UMP manakala TERAJU pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md Silmi Abd Rahman.
Hadir menyaksikan majlis ialah Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UMP), Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.
DPUB adalah program peningkatan pendapatan golongan B40 berasaskan konsep Model Quadruple Helix bagi memupuk inovasi sosial ke arah komuniti mapan.
Objektif utama Program DPUB itu adalah untuk menaikkan taraf hidup bumiputera terutama golongan B40 dalam kalangan masyarakat luar bandar bersama dengan agenda nasional Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
Menurut Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz, program ini membolehkan para usahawan tani tempatan meningkatkan produktiviti pertanian mereka dengan bantuan teknologi yang memudahkan dan berkesan.
“Projek IOT Based Smart Farming System yang dicadangkan UMP kepada pihak TERAJU ini akan dilaksanakan bagi Program DPUB 2020 di Pahang.
“Ia melibatkan 45 orang B40 di sekitar daerah Kuantan, Pekan, Maran dan Temerloh.
“Hasil projek inovasi gabungan antara sistem IoT dan juga fertigasi (cili dan terung) ini akan memudahkan peserta menjalankan aktiviti pertanian,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, para peserta bagi projek ini akan diberikan kelengkapan pertanian berupa sistem fertigasi pintar yang lebih cekap dan mesra pengguna berbanding sistem penanaman tradisional dan sistem fertigasi konvensional.
“Malahan, sistem fertigasi yang akan diutarakan di dalam projek ini dilengkapi dengan mekanisme automatik berpacukan Internet of Things iaitu pengawalan dan pengawasan sistem dijalankan sepenuhnya menerusi sistem penggera serta dihantar terus ke aplikasi telefon bimbit pengguna.
“Ia membolehkan maklumat dibaca terus dan jelas melalui telefon di mana sahaja pengguna berada serta membolehkan pengguna mengambil tindakan mengikut kesesuaian melalui aplikasi dalam talian yang dibangunkan penyelidik UMP.
“UMP sentiasa berinovasi dan mempelbagaikan kajian demi menyediakan suasana yang dapat membantu para usahawan tani menguruskan pertanian mereka dengan lebih baik,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan.
Sementara itu, menurut Md Silmi, projek fertigasi ini juga dikhaskan kepada golongan Miskin Berpendapatan Rendah (B40) yang memenuhi kriteria ditetapkan bagi membantu mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan rakyat melalui gabungan pertanian dan juga aplikasi teknologi.
“Projek ini juga dijangkakan membawa transformasi golongan B40 kepada golongan M40 dalam tempoh perlaksanaan dan pemantauan selama lima tahun.
“Program ini menyasarkan untuk memberi pendapatan tambahan kepada golongan B40 yang terlibat sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan dalam masa lima tahun projek ini dilaksanakan, “ ujarnya.
“Projek ini juga akan melibatkan NGO dan agensi kerajaan yang lain seperti Pertubuhan Pengusaha Agro Malaysia (PPAM), Jabatan Pertanian Malaysia (MAFI), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan para pensyarah di UMP bagi menjalin kerjasama dalam menjayakan projek ini.
Program turut disertai empat penyelidik UMP sebagai pemenang SUPERB iaitu sebuah program pemerkasaan syarikat-syarikat permulaan 'start-up' bumiputera sebagai usaha demi memastikan inklusiviti penyertaan mereka dalam ekosistem TERAJU.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 197 views