UMP, UMI jalin kerjasama dalam bidang akademik dan pengantarabangsaan
MAKASSAR INDONESIA, 18 Julai 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) jalin kerjasama dengan Universitas Muslim Indonesia (UMI) dalam menjayakan ‘International Summer Course’ yang dapat dimanfaatkan kedua-dua belah pihak sebagai medan silang budaya antara negara-negara Asia Tenggara.
Hadir menandatangani memorandum persefahaman (MoU), Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Mohamad Hilmi Mat Said yang hadir mewakili Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Rektor UMI, Profesor Dr. H. Basri Modding dan Timbalan Rektor 5 UMI, Dr. H. M. Hatta Fattah.
Turut sama Ketua Pejabat Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama UMI, Profesor Madya Dr. Setyawati Yani.
Menurut Dr. Mohamad Hilmi, program ini disambut baik kedua-dua pihak dalam usaha 'menghakupayakan' mahasiswa dalam pengurusan persatuan dan kepimpinan.
“Penganjuran aktiviti ini membolehkan mereka mengasah idea dan kreativiti ke arah pemerkasaan mahasiswa dalam konteks pengurusan kewangan oleh mahasiswa melalui peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kepada persatuan lain,” katanya.
Dalam pada itu, Profesor Dr. H. Basri Modding berharap kerjasama ini juga membolehkan kedua-dua pihak meneroka lain-lain kerjasama dalam bidang akademik dan pegantarabangsaan.
Turut berlangsung program mobiliti antarabangsa Kembara UMP-21 yang berlangsung di Makassar Indonesia bermula 18 hingga 23 Julai 2023 bertemakan yang ‘Exploring The Wonderful Nature and Culture of South Sulawesi’.
Program yang diketuai Kavita Sitaraman yang merupakan Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 1 (PEKA1) itu memfokuskan terhadap semangat persaudaraan sebagai bangsa Asia Tenggara.
Selain itu, ia dapat menjalinkan persaudaraan mahasiswa di seluruh Asia Tenggara khususnya di Makassar melalui kerjasama bersama Universitas Muslim Indonesia (UMI) Indonesia.
Dalam pada itu, program itu juga akan meningkatkan peranan dan sumbangan universiti serta mahasiswa dalam menggalakkan Komuniti ASEAN selain mendidik jiwa dengan nilai-nilai kebersamaan, keyakinan, etika kerja dan tanggungjawab.
Seramai 23 wakil MPP dan perwakilan pelajar juga turut serta dalam program itu.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 31 views