Skip to main content

UMPSA dan ABM Wilayah Selatan memperkukuh kerjasama strategik dalam teknologi binaan dan pembangunan TVET

JOHOR BAHRU, 25 Mei 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Selatan yang memberi fokus kepada pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan pelajar, tenaga pengajar serta penyelidikan dan inovasi.

Sebagai Pusat Latihan dan Penilaian CIDB Malaysia yang matlamat penubuhannya untuk memenuhi keperluan bagi pembangunan dan peningkatan kemahiran pekerja binaan, ABM dilihat memberi tumpuan kepada melengkapkan personel binaan dengan kompetensi yang sesuai mengikut standard oleh industri.

Majlis menyaksikan acara menandatangani MoU yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha mewakili universiti dan pihak ABMJ diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Akademi Binaan Malaysia (Johor) Sdn. Bhd, Tuan Haji Mohd Zaidi Rahmat dan Pengurus Bahagian Latihan ABM (Johor) Sdn. Bhd., Mohd Fairoz Mohd Saad.

UMPSA dan ABM Wilayah Selatan memperkukuh kerjasama strategik dalam teknologi binaan dan pembangunan TVET

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, hubungan strategik di antara UMPSA dan ABM Wilayah Selatan ini lahir daripada aspirasi kedua-dua institusi yang berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kompeten dan memenuhi keperluan industri pembinaan semasa serta masa hadapan.

“Melalui jaringan kerjasama ini, pelbagai potensi dapat diterokai termasuk latihan profesional, pembangunan teknologi, penyelidikan gunaan, inovasi industri dan pemindahan ilmu yang memberi manfaat bersama kepada UMPSA serta ABM Wilayah Selatan,” katanya.

Kerjasama ini menggalakkan dan membangunkan hubungan strategik antara kedua-dua pihak dalam bidang pembangunan TVET, penyelidikan dan inovasi, pembangunan pelajar dan tenaga pengajar.

Antara bidang kerjasama yang dikenal pasti termasuk pembangunan TVET dan latihan kemahiran yang melibatkan latihan teknikal, pensijilan profesional serta pembangunan kompetensi tenaga mahir dalam industri pembinaan.

Selain itu, kerjasama ini turut merangkumi bidang teknologi pembinaan, perkongsian kepakaran akademik, kemahiran industri dan pembangunan penyelidikan berimpak tinggi.

Dalam aspek pembangunan pelajar dan tenaga pengajar pula, inisiatif yang dirancang melibatkan latihan industri, mobiliti akademik dan kemahiran, perkongsian fasiliti serta pembangunan profesional staf dan pelajar.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka penggunaan fasiliti dan peralatan secara bersama demi manfaat bersama selain membuka ruang kepada bidang kerjasama baharu yang dipersetujui pada masa akan datang.

Kerjasama strategik ini dilihat mampu memperkukuh agenda TVET negara dan menyokong hasrat UMPSA dalam melahirkan graduan kompeten, berkemahiran tinggi serta memenuhi keperluan industri semasa dan masa depan.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri