Skip to main content

UMPSA dan TJU perkukuh hubungan strategik dalam Kejuruteraan Kimia dan Pembangunan Mampan

UMPSA dan TJU perkukuh hubungan strategik dalam Kejuruteraan Kimia dan Pembangunan Mampan

TIANJIN, CHINA, 4 September 2026 – Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Presiden Tianjin University (TJU), Chai Liyuan bagi memperkukuh hubungan strategik serta kerjasama akademik yang telah terjalin erat antara UMPSA dan TJU. 

Antara agenda utama yang dibincangkan ialah perkembangan program Ijazah Dual UMPSA–TJU. 

Satu persetujuan turut dicapai untuk menyelaraskan pembaharuan memorandum perjanjian (MoA) bagi program ijazah dual yang akan tamat pada penghujung tahun 2026.

Program ijazah dual ini juga membolehkan pelajar memperoleh dua ijazah serentak iaitu Bachelor of Chemical Engineering with Honours (UMPSA) dan Bachelor of Engineer in Chemical Engineering & Technology (TJU) dan satu daripada Tianjin University dalam tempoh pengajian yang ditetapkan.

UMPSA dan TJU perkukuh hubungan strategik dalam Kejuruteraan Kimia dan Pembangunan Mampan

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memperluas kerjasama ini ke disiplin lain melalui program ijazah dual atau 2+2, serta meneroka potensi bagi program Master by Coursework dan Doktor Falsafah (PhD).

“Pertemuan ini mencerminkan komitmen kukuh UMPSA dan TJU dalam memperluas jaringan kerjasama pendidikan tinggi Malaysia–China, sekali gus memperkukuh agenda pembangunan bakat, TVET, kejuruteraan, penyelidikan, hubungan industri dan kepimpinan mahasiswa di peringkat global,” ujarnya. 

Dalam pada itu, pihaknya merakamkan penghargaan kepada pihak TJU kerana menjadi antara institusi terawal mengesahkan keahlian dalam Asia-Pacific Advanced TVET Hub, satu inisiatif yang diterajui UMPSA yang menghimpunkan institusi pendidikan berorientasikan TVET dari rantau Asia Pasifik yang dijangka akan berlangsung pada tahun hadapan. 

Pihak UMPSA turut menyatakan penghargaan atas sokongan TJU selaku Presiden Tetap ACNET-EngTech berikutan pelantikan UMPSA sebagai Rotating President ACNET-EngTech bagi tahun 2026.

Beliau mengharapkan kerjasama erat ini akan terus diperkasakan dalam bidang pendidikan teknologi kejuruteraan, penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat dan mobiliti akademik dalam kalangan institusi ahli ACNET. 

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meningkatkan penglibatan yang lebih aktif dalam pelbagai program ACNET termasuk inisiatif pembangunan profesional, perkongsian kepakaran dan jaringan institusi.

Turut dibincangkan ialah cadangan UMPSA menjemput TJU sebagai Host Collaborator bagi Global Student Leadership Summit (GSLS) 2026 yang akan memasuki edisi keempat tahun ini. 

Selepas penganjuran di Indonesia, Türkiye dan Jepun, edisi 2026 di China dijangka menghimpunkan kira-kira 300 pemimpin pelajar seluruh dunia.

Sementara itu, pihak TJU diwakili oleh Naib Presiden TJU, Ming Dong, Pengarah Office of International Cooperation, Zhang Ling, Dekan School of Chemical Engineering and Technology, Fan Xiaobin dan Timbalan Pengarah Office of International Cooperation, Wei Youxiang. 

Dalam masa yang sama, Profesor Ts. Dr. Yatimah turut berkesempatan meluangkan masa bersama pelajar-pelajar program Ijazah Dual UMPSA-Tianjin University yang melibatkan 24 orang dari kohort pertama dan kedua. 

Katanya, malahan seramai 16 orang pelajar kohort ke-2 UMPSA juga telah selamat tiba di Tianjin baru-baru ini untuk meneruskan pengajian selama dua tahun (empat semester) di TJU. 

“Mereka teruja berkongsi pengalaman setelah setahun berada di Tianjin termasuk hari pertama yang mendaftar kelmarin. 
“Alhamdulillah, mereka semua dalam keadaan sihat sejahtera. 

“Malah dalam masa terdekat ini, mereka akan menduduki peperiksaan HSK4 iaitu ujian kemahiran bahasa Mandarin peringkat pertengahan dan saya doakan semoga semuanya memperoleh keputusan yang cemerlang,” katanya. 

Beliau turut mengharapkan agar para pelajar UMPSA ini dapat menjaga keselamatan dan kesihatan sepanjang di Tianjin serta fokus kepada pembelajaran dengan memperoleh keputusan yang cemerlang.

Beliau juga turut menasihatkan sekiranya terdapat sebarang permasalahan berkaitan kebajikan dan pengajian, berhubunglah dengan pihak universiti.

Turut sama hadir, Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia UMPSA,  Profesor Madya Ts. Dr. Noor Asma Fazli Abdul Samad.

Disediakan Oleh: Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri