Skip to main content

UMPSA-Feytech meterai MoU, lonjak ekosistem automotif negara

KUALA LUMPUR, 22 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembangunan bakat dan inovasi automotif negara apabila mewakili Consortium Automotive of Malaysian Universities (CAuto) dalam Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Feytech Sdn. Bhd. yang berlangsung di Dewan Bankuet, Ibu Pejabat Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Kuala Lumpur.

Majlis tersebut menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias mewakili CAuto bertukar dokumen MoU dengan Ketua Pegawai Eksekutif Feytech Sdn. Bhd., Connie Go yang disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.

UMPSA-Feytech meterai MoU, lonjak ekosistem automotif negara

Kerjasama strategik itu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan, penyelidikan dan inovasi automotif yang lebih mampan melalui penggabungan kepakaran akademia dan pengalaman industri dalam mendepani transformasi sektor automotif global yang kini dipacu oleh elektrifikasi, automasi dan teknologi digital.

Majlis turut dihadiri barisan kepimpinan industri automotif dan pembuatan negara termasuk Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Ben Yeoh, Pengarah Mazda Malaysia Sdn. Bhd., Dato’ Zahrul Nizam Abd Samad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Corporation Sdn. Bhd., Datuk Syed Hisham Syed Wazir, Pengarah Bahagian Pembangungan Industri MITI, Aida Syukrena, Presiden MACPMA, Chin Jit Sin, Ketua Pegawai Eksekutif Advance Automotive Manufacturing Sdn. Bhd, Yang Chor Seng, serta Pembekal, Lu Wan Li.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, kerjasama tersebut bukan sahaja memperkukuh hubungan universiti-industri, malah membuka peluang lebih luas kepada mahasiswa untuk memperoleh pengalaman industri sebenar yang selari dengan keperluan pasaran pekerjaan masa kini.

UMPSA-Feytech meterai MoU, lonjak ekosistem automotif negara

“Kerjasama antara CAuto dan Feytech ini merupakan satu langkah strategik dalam memastikan institusi pendidikan tinggi (IPT) terus relevan dalam memenuhi keperluan industri automotif yang semakin kompleks dan dinamik

“Melalui kolaborasi ini, mahasiswa akan mendapat pendedahan kepada persekitaran industri sebenar menerusi latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning), penggunaan peralatan dan perisian industri serta peluang pekerjaan yang kompetitif selepas tamat pengajian.

“Pada masa yang sama, kerjasama ini turut membuka ruang kepada pembangunan penyelidikan, inovasi teknologi dan pemindahan ilmu yang mampu menyumbang kepada daya saing industri automotif negara serta menyokong agenda pembangunan bakat berkemahiran tinggi Malaysia,” ujarnya. 

Beliau turut menegaskan bahawa UMPSA sebagai universiti peneraju CAuto komited memperkasakan ekosistem automotif negara melalui pendekatan kolaboratif yang melibatkan universiti, industri dan agensi kerajaan.

Sementara itu, Connie Go berkata, kerjasama antara Feytech dan CAuto merupakan pelaburan jangka panjang syarikat dalam membangunkan bakat tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri automotif masa hadapan.

“Feytech sentiasa percaya bahawa pembangunan modal insan merupakan asas kepada pertumbuhan industri yang mampan. Melalui kerjasama dengan CAuto yang diterajui UMPSA, kami berpeluang berkongsi pengalaman dan kepakaran industri secara langsung dengan mahasiswa serta tenaga akademik.

“Kami berharap kolaborasi ini dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan teori yang kukuh, malah memahami realiti operasi industri, teknologi terkini dan keperluan sebenar sektor automotif.

“Selain membuka peluang latihan industri dan pembelajaran berasaskan kerja, kerjasama ini juga berpotensi menghasilkan penyelesaian inovatif melalui penyelidikan bersama yang dapat meningkatkan daya saing industri automotif Malaysia di peringkat global,” katanya.

Feytech merupakan antara pemain utama dalam industri automotif tempatan yang telah beroperasi lebih dua dekad dan kini terlibat dalam pembuatan komponen serta sistem tempat duduk kenderaan untuk pelbagai jenama automotif tempatan dan antarabangsa termasuk Proton, Peugeot, Chery dan Kia.

CAuto pula merupakan inisiatif nasional yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun 2025 dan menghimpunkan lima universiti awam (UA) yang mempunyai kekuatan dalam bidang automotif iaitu UMPSA sebagai peneraju bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Melalui platform Malaysia Research and Innovation Initiative (MRI3) Automotive yang diterajui CAuto, kerjasama universiti-industri dibangunkan berasaskan beberapa komponen utama termasuk pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi, pembangunan program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling), penggunaan bersama kemudahan makmal serta pembangunan teknologi automotif masa hadapan.

Di bawah kerjasama tersebut, mahasiswa daripada universiti ahli CAuto akan berpeluang mengikuti latihan industri dan pembelajaran berasaskan kerja di Feytech, menggunakan peralatan serta perisian sebenar yang digunakan dalam industri, menerima sokongan bagi projek tahun akhir dan berpeluang memperoleh pekerjaan dengan gaji yang kompetitif selepas tamat pengajian.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua pihak turut meneroka kerjasama dalam pembangunan kurikulum, penyelidikan gunaan, inovasi teknologi serta pembangunan produk yang dapat meningkatkan daya saing industri automotif negara.

Dalam sesi perbincangan selepas majlis MoU, wakil universiti dan industri turut membincangkan hala tuju MRI3 Automotive yang memberi tumpuan kepada peluasan keahlian industri, perkongsian makmal dan hab inovasi, pembangunan dasar berkaitan kenderaan autonomi, ekonomi kitaran bateri kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber automotif serta pembangunan program mikrokelayakan dan pensijilan profesional.

Antara kemudahan strategik yang diketengahkan termasuk Makmal Noise, Vibration and Harshness (NVH) dan Makmal Kenderaan Autonomi di Pusat Kejuruteraan Automotif UMPSA yang berpotensi dimanfaatkan secara bersama oleh universiti dan industri bagi tujuan pengajaran, latihan, penyelidikan dan pengujian teknologi automotif.
Sementara itu, Datuk Sikh Shamsul dalam ucapannya berkata, kerjasama antara Feytech dan CAuto merupakan contoh terbaik bagaimana pengalaman industri dan keupayaan akademik dapat digabungkan bagi membangunkan bakat, memperkukuh inovasi serta meningkatkan daya saing industri automotif negara.

Menurut beliau, sektor automotif Malaysia kini mempunyai lebih 27 pengeluar kenderaan, lebih 640 pengeluar komponen dan alat ganti serta lebih 60,000 perniagaan berkaitan selepas jualan yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memastikan kelangsungan serta pertumbuhan industri pada masa hadapan.

Pemeteraian MoU antara CAuto dan Feytech itu membuktikan komitmen berterusan UMPSA dalam menerajui agenda kolaborasi universiti-industri yang bukan sahaja memberi manfaat kepada mahasiswa dan penyelidik, malah turut menyumbang kepada pembangunan industri automotif negara yang lebih berdaya tahan, berteknologi tinggi dan berorientasikan masa hadapan.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri