UMPSA, Hebei University meterai kerjasama bakal tawar Ijazah Dual dalam Sains Data dan Teknologi Data Data Raya
KUANTAN, 24 Jun 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jalinan kerjasama antarabangsa apabila termeterainya Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Hebei University, China bagi pelaksanaan program ijazah dual dalam bidang Teknologi Data Raya (Big Data).
Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Hotel Grand Darulmakmur itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dan Setiausaha Jawatankuasa Parti University Hebei, Profesor Dr. Liu Bing.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, program ijazah dual ini bukan sekadar pencapaian simbolik tetapi turut menandakan permulaan kepada satu kerjasama akademik bersifat transformatif antara Malaysia dan China dalam usaha memperkasa kecemerlangan, inovasi dan daya saing global.
“Program ini bakal menawarkan pengajian dua hala dalam bidang teknologi data raya.
“UMPSA menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Analitik Data) dengan Kepujian, manakala Hebei University pula menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains Data dan Teknologi Data Raya.
“Kerjasama ini amat signifikan dalam mendepani permintaan tinggi terhadap tenaga kerja mahir dalam bidang data raya,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, program ini bukan sahaja memperkukuh pertukaran pendidikan antara Malaysia dan China, malah menyokong pembangunan bakat tempatan selari dengan keperluan ekonomi dan industri serantau.
“Pelajar yang mengikuti program ini akan memperoleh pendedahan akademik dua budaya iaitu pengalaman pembelajaran pelbagai kaedah dan peluang jaringan global bersama rakan antarabangsa serta pemain industri.
“Graduan program ini juga akan memiliki kelayakan yang diiktiraf di kedua-dua buah negara,” katanya.
Majlis turut meraikan hubungan strategik UMPSA dan Hebei University yang telah terjalin sejak 15 tahun lalu.
Hadir sama Penolong Timbalan Naib Canselor (Pengantarabangsaan), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Pengarah (Malaysia) Institut Confucius UMPSA, Yong Ying Mei dan Pengarah (China) Institut Confucius UMPSA, Profesor Dr. Li Lijun.
Dalam pada itu, UMPSA juga kini mempunyai Pusat Serantau Kemahiran Vokasional China-Malaysia dengan penubuhan China-Malaysia Chinese Plus Vocational Skils Regional Development Center (Malaysia) hasil jalinan kerjasama dengan Center for Language Education and Cooperation (CLEC) dan Hebei University.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 105 views