UMPSA jalin kerjasama kelestarian bersama Tanah Makmur Berhad
PEKAN, 26 Jun 2024 - Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman di antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Tanah Makmur Berhad (TMB) serta Sesi Perkongsian oleh Ketua Pegawai Eksekutif TMB, Dato' Shahrul Nizam Abdul Aziz telah berlangsung di Dewan Bankuet UMPSA Pekan baru-baru ini.
Kerjasama mula terjalin melalui program MBA Business Forum 2023 yang dianjurkan oleh Fakulti Pengurusan Industri (FPI), UMPSA yang pada ketika itu Dato' Shahrul Nizam Abdul Aziz dijemput menjadi salah seorang panelis bagi forum tersebut.
Memandangkan TMB merupakan ‘champion’ dalam Agenda Environment, Social, Governance (ESG) di Pahang, Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA telah menggunakan peluang ini untuk berkolaborasi dalam bidang ESG bersama industri.
Kerjasama yang telah digariskan oleh kedua-dua pihak adalah seperti kajian penyelidikan, kajian kes, program tanggungjawab sosial korporat bersama komuniti, industrial talk dan juga forum.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, dengan pemeteraian MoU ini kelak, ia bakal membuka ruang lebih luas kepada UMPSA khususnya Pusat Pembangunan Kelestarian (SDG/ESG) dalam mengkoordinasi kerjasama bersama TMB yang merangkumi bidang latihan, penyelidikan dan inovasi, penulisan, penerbitan, konsultasi dan kumpulan pemikir mengenai SDG/ESG.
“Manfaat jangka panjang bakal diperoleh melalui kerjasama yang akan melibatkan pelajar, staf, industri dan komuniti setempat.
“Kerjasama yang dirintis ini bakal mengilhamkan ketersediaan pihak TMB dalam menyalurkan dana geran penyelidikan melalui beberapa projek, menerima pelajar bagi menjalani latihan industri dan peluang pekerjaan kepada graduan UMPSA serta manfaat lain yang setara dengannya.
“Semoga kerjasama ini bakal mengeratkan lagi jaringan hubungan pemegang taruh di antara industri di Pahang dan UMPSA,” ujarnya lagi.
Majlis menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman di antara Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif TMB, Dato' Shahrul Nizam Abd Aziz.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Rompin Integrated Pineapples Industries (RIPI) Sdn. Bhd., Mohd Shafiq Fayyadh Mohd Sheth, Pengurus Besar Kanan Bahagian Hartanah KotaSAS, Mohd Farizan Md Dalimi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Ketua Pustakawan UMPSA, Kamariah Gono, dekan-dekan fakulti, pengarah-pengarah dan wakil-wakil dari industri.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 68 views