Skip to main content

UMPSA meterai memorandum persefahaman dengan COHU Malaysia memperkukuh kolaborasi industri-akademia

AYER KEROH, MELAKA, 18 Ogos 2025  – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik apabila hari ini berlangsungnya majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama COHU Malaysia Sdn. Bhd. bertempat di Ayer Keroh, Melaka.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor, Dr. Yatimah Alias bersama Naib Presiden Operasi Malaysia, Stephanie Luthi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). 

Turut hadir ialah Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Faiz  Mohd Turan.

Menurut Profesor Dr. Yatimah Alias, kerjasama ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha UMPSA menjalin sinergi antara universiti dan industri bagi memastikan graduan lebih berdaya saing serta menepati keperluan pasaran kerja.

UMPSA meterai memorandum persefahaman dengan COHU Malaysia memperkukuh kolaborasi industri-akademia

“Kerjasama ini bukan sekadar formaliti tetapi melangkaui kepada perkongsian ilmu, pembangunan bakat dan penyelidikan yang mampu memberi impak besar kepada kedua-dua pihak. 

"Malah, inisiatif ini juga bakal memperkasa pelajar melalui latihan berasaskan kerja, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkukuh ekosistem penyelidikan UMPSA,” ujarnya. 

Antara kolaborasi yang dipersetujui bersama termasuklah peluang latihan industri dan program Work-Based Learning (WBL) untuk pelajar dan staf, pengambilan bakat berpotensi daripada UMPSA untuk COHU, pnganjuran program akademik bersama yang menggabungkan teori dan pembelajaran praktikal, kuliah, simposium, persidangan dan bengkel bersama, pertukaran kepakaran, maklumat, bahan pembelajaran serta sumber teknologi dan saintifik, pembangunan penyelidikan bersama, khususnya dalam bidang semikonduktor, metrologi, data analitik dan teknologi berkaitan.

UMPSA optimis kerjasama ini akan membuka peluang lebih luas dalam bidang pembangunan bakat, inovasi teknologi dan penyelidikan yang berimpak tinggi sejajar dengan hasrat universiti sebagai peneraju pendidikan tinggi teknikal negara.

Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan COHU Malaysia Sdn. Bhd. atas komitmen dan kesediaan untuk bekerjasama, serta berharap inisiatif ini dapat berkembang ke lebih banyak bidang pada masa hadapan.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri