Skip to main content

UMPSA perkukuh kerjasama antarabangsa dengan CQUniversity Australia dalam Program Dual PhD dan Sarjana

PEKAN, 27 Mac 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memeterai kerjasama strategik dengan Central Queensland University (CQUniversity), Australia menerusi Majlis Pertukaran dan Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) yang berlangsung di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, UMPSA Pekan baru-baru ini.

Hadir dalam majlis, Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bersama Naib Canselor dan Presiden CQUniversity, Professor Nick Klomp serta delegasi kedua-dua institusi.

Turut sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan antarabangsa UMPSA, khususnya dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi dan TVET termaju di peringkat global.

UMPSA perkukuh kerjasama antarabangsa dengan CQUniversity Australia dalam Program Dual PhD dan Sarjana

“Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan program akademik bersama seperti program dual PhD dan sarjana, mobiliti pelajar dan staf, serta penyelidikan kolaboratif yang disokong melalui geran padanan. 

“Selain itu, UMPSA juga akan menghantar staf bukan akademik untuk menyertai program mobiliti di CQUniversity sebagai usaha memperkasa pembangunan profesional dan pendedahan antarabangsa dalam kalangan tenaga kerja sokongan universiti.

“UMPSA kini giat membangunkan kepakaran dalam bidang Aeroangkasa termasuk teknologi dron, sistem tanpa pemandu dan teknologi penerbangan baharu yang berpotensi untuk diterokai bersama CQUniversity,” katanya.

Tambahnya lagi, antara inisiatif yang sedang dibangunkan ialah program latihan juruterbang jauh (remote pilot) yang menawarkan pensijilan diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa melalui Pusat Mobiliti dan Aeroangkasa Termaju UMPSA.

UMPSA perkukuh kerjasama antarabangsa dengan CQUniversity Australia dalam Program Dual PhD dan Sarjana

Dalam masa yang sama, Profesor Ts. Dr. Yatimah turut menegaskan bahawa nilai sebenar kerjasama ini bukan sekadar pada dokumen yang ditandatangani tetapi kepada pelaksanaan dan impak jangka panjang yang bakal dicapai bersama.

Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan bakat, sekali gus memperkukuh kedudukan kedua-dua institusi di persada antarabangsa.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri