UMPSA perkukuh kerjasama industri-akademia dengan pelaksanaan WBL, lantik Profesor Adjung
KUANTAN, 15 Julai 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama dengan 29 rakan industri menerusi pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU) baru-baru ini.
Kerjasama itu bakal memberi manfaat buat industri-akademia dengan pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Kerja atau Work-Based Learning (WBL), pembangunan modal insan, pembangunan penyelidikan dan kerjasama khidmat komuniti dan masyarakat.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin hadir bertukar dokumen dengan rakan industri yang berlangsung di Dewan Perdana, Hotel Grand Darul Makmur.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Datin Ts. Mimi Sakinah Abdul Munaim.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ T.s Dr. Yuserrie Zainuddin, WBL memberikan pelajar pengalaman kerja sebenar, membolehkan mereka menggunakan kemahiran akademik dan teknikal dalam membangunkan kebolehpasaran.
“Dengan menyepadukan kurikulum universiti dengan pengalaman di tempat kerja melalui latihan amali, perantisan dan aktiviti hands-on, WBL merapatkan jurang antara pengajuan di universiti dan pekerjaan.
“Ia melengkapkan pelajar dengan kemahiran profesionalisme, kerja berpasukan, komunikasi dan inisiatif, sambil menawarkan peluang rangkaian yang berharga dengan bakal majikan.
“Program yang melibatkan Fakulti Komputer (FK), Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) ini bakal memberi teknologi terkini seperti Kepintaran Buatan dan Automasi,” ujarnya.
Dalam masa yang sama turut berlangsung perbincangan Meja Bulat bertemakan ‘Advancing Business Success: Accelerate and Automate with Artificial Intelligence (AI)’ yang mencerminkan peranan penting AI dalam inovasi teknologi moden.
Ujar beliau lagi, kini AI merentasi pelbagai bidang industri, termasuk pembuatan, penjagaan kesihatan, pengangkutan dan kewangan, meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan.
“Penerapan AI dalam transformasi perniagaan semakin penting dalam landskap kompetitif hari ini,” katanya.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut menyerahkan surat lantikan Profesor Adjung kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tanah Makmur Berhad, Dato’ Shahrul Nizam Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Abyres Enterprise Technologies Sdn. Bhd., Ts. Basheer Ali Majeed, Ketua Pegawai Eksekutif Trinovik Labs, Gunasegaran Krishnan dan Ketua Pegawai Eksekutif Robopreneur Sdn. Bhd., Dr. Hanafiah Yussof.
Lain-lain Pengarah Eksekutif B-Crobes Group of Companies, Lee Heng Yee dan Ketua Pegawai Eksekutif Move Robotic Sdn. Bhd, Mohd Hazeli Rasul dan Pengarah BrandImage International Institute (BII), Dr. Wendy Lee.
Mereka ini dilantik dalam kalangan Ketua Pengarah Eksekutif industri CEO@Faculty Programme (CFP) bagi menggalakkan perkongsian pengetahuan antara akademia dan industri dengan menggandingkan CEO terpilih dengan universiti.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 157 views