UMPSA tubuh Pusat Serantau Kemahiran Vokasional China-Malaysia peluang pengajaran kursus bahasa Mandarin dengan kemahiran vokasional
KUALA LUMPUR, 4 Jun 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menubuhkan China-Malaysia Chinese Plus Vocational Skils Regional Development Center (Malaysia) iaitu sebuah Pusat Pembangunan Serantau Kemahiran Vokasional China-Malaysia hasil kerjasama yang dimeterai antara UMPSA dengan Center for Language Education and Cooperation (CLEC) dan Hebei University.
Pusat Serantau Kemahiran Vokasional China-Malaysia yang ditubuhkan di UMPSA itu merupakan pusat yang kedua ditubuhkan di dunia selepas Afrika.
Menerusi Institut Confucius, pusat itu bakal menawarkan dan menerokai kursus bahasa Mandarin dengan kemahiran vokasional yang sesuai di Malaysia dan juga Asia.
Selain menawarkan kursus bahasa Mandarin, pusat ini juga akan meningkatkan budaya Cina dan kemahiran vokasional, membangunkan sumber pengajaran dan kursus bahasa Mandarin serta melatih guru bahasa Mandarin tempatan dalam pengajaran.
Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman hadir mewakili Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias bagi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Timbalan Ketua Pengarah CLEC, Zhang Xu dan disaksikan oleh Setiusaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datin Noorazah Omar.
Hadir sama Penolong Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (Pengantarabangsaan), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Am CLEC, Kong Jia serta Pengarah (Malaysia) Institut Confucius UMPSA, Yong Ying Mei, dan Pengarah (China) Institut Confucius UMPSA, Profesor Dr. Li Lijun.
Menurut Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad, Institute Confucius UMPSA telah menawarkan kursus Mandarin dan Kemahiran Vokasional sejak ia ditubuhkan pada tahun 2018.
“Antaranya kursus yang ditawarkan seperti bahasa Mandarin Industri, bahasa Mandarin Rel dan bahasa Mandarin Metalurgi.
“Dengan penubuhan pusat serantau yang bakal diwujudkan ini ia akan memperkasakan lagi kursus bahasa Mandarin dengan kemahiran vokasional.
“Pusat ini juga berperanan dalam membangunkan bahan pengajaran dan latihan dalam bidang tersebut serta melatih tenaga pengajar tempatan untuk mengendalikan kursus Mandarin berteraskan TVET, program mobiliti pelajar dan pertukaran staf antara Malaysia dan China,” katanya.
Ujarnya lagi, inisiatif ini seiring dengan hasrat UMPSA merealisasikan aspirasi Agenda Pengantarabangsaan UMPSA sebagai Hab TVET Termaju ASEAN seperti yang dinyatakan oleh Profesor Dr. Yatimah dalam Amanat Naib Canselor UMPSA 2025.
Kerjasama ini juga akan memberi sumbangan besar dalam memenuhi permintaan industri terhadap tenaga kerja mahir dan memartabatkan UMPSA dan Hebei University sebagai peneraju dalam penyelidikan serta pendidikan teknikal serantau.
Dalam pada itu, penubuhan pusat ini bukan sahaja akan memperkukuh kerjasama dua hala Malaysia–China, tetapi juga bakal memberi impak besar kepada pembangunan bakat mahir selari dengan keperluan industri semasa negara.
Sebagai sebuah universiti teknikal terbaik negara, UMPSA sentiasa komited mempelbagaikan program TVET bertaraf antarabangsa.
Sejak tahun 2011, kerjasama antara UMPSA dan Hebei University telah menyaksikan penubuhan Pusat Bahasa dan Budaya Mandarin, diikuti dengan penubuhan Institut Confucius UMPSA pada tahun 2018.
Selain itu juga, melalui kerjasama bersama Hebei University ini, UMPSA telah berjaya melahirkan seramai 45 graduan perintis program ijazah dual bersama Beijing Jiaotong University (BJTU).
Lain-lain program Ijazah Dual dengan Tianjin University (TJU) serta latihan kepada pelatih East Coast Rail Link (ECRL) di China Construction Communication Company (CCCC) dan Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. (ASSB) di Kuantan.
Malahan pada masa ini, UMPSA turut giat menyediakan kursus dan keperluan latihan bahasa Mandarin kepada pelajar, masyarakat dan industri terutamanya di Pantai Timur.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 77 views