Skip to main content

UMPSA, Universitas Telkom meterai perjanjian pertukaran pelajar perluas mobiliti antarabangsa

JAKARTA, 28 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa apabila memeterai Perjanjian Program Pertukaran Mahasiswa bersama Universitas Telkom (Tel-U), Indonesia bagi memperkukuh agenda pengantarabangsaan dan mobiliti pelajar antara kedua-dua institusi.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias mewakili UMPSA, manakala Universitas Telkom diwakili oleh Naib Rektor Akademik dan Perancangan Strategik, Parman Sukarno, S.T., M.Sc., Ph.D.

Turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu ialah Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Profesor Ir. Dr. Ahmad Razlan Yusoff dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universitas Telkom, Profesor Dr. Farida Titik Kristanti M.Si.

Kerjasama yang dimeterai itu memberi fokus kepada pelaksanaan program pertukaran pelajar secara timbal balik yang melibatkan pelajar daripada kedua-dua universiti untuk mengikuti pengalaman pembelajaran akademik dan aktiviti mobiliti di institusi rakan masing-masing.

UMPSA, Universitas Telkom

Melalui perjanjian tersebut, kedua-dua institusi bersetuju untuk menamakan sekurang-kurangnya lima orang pelajar yang layak setiap tahun bagi menyertai program pertukaran yang dijalankan berdasarkan prinsip timbal balik dan keseimbangan penyertaan.

Program mobiliti yang ditawarkan merangkumi program berasaskan kredit dan bukan kredit yang boleh dilaksanakan secara fizikal atau dalam talian mengikut kesesuaian serta persetujuan bersama kedua-dua pihak.

Selain mengikuti kursus akademik, pelajar yang menyertai program ini turut berpeluang menyertai aktiviti pertukaran budaya, lawatan industri, lawatan komuniti dan program pembangunan diri yang dianjurkan oleh institusi tuan rumah.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, kerjasama tersebut merupakan satu lagi langkah strategik UMPSA dalam memperkukuh jaringan akademik serantau dan menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran global kepada mahasiswa.

“Program mobiliti antarabangsa memberi nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan pelajar melalui pendedahan kepada budaya, persekitaran akademik dan amalan industri yang berbeza.

“Kerjasama dengan Universitas Telkom ini akan membuka ruang kepada mahasiswa UMPSA untuk memperluas perspektif global, meningkatkan kompetensi antara budaya serta membina jaringan profesional di peringkat antarabangsa,” ujarnya. 

Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkasakan mobiliti pelajar selaras dengan aspirasi UMPSA untuk melahirkan graduan holistik, berciri global dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran dunia masa depan.

Sementara itu, Parman Sukarno berkata, perjanjian tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua universiti dalam memperkukuh hubungan akademik rentas negara serta memupuk pengalaman pembelajaran yang lebih inklusif dan berimpak tinggi kepada pelajar.

Universitas Telkom yang berpusat di Bandung, Indonesia merupakan antara universiti swasta terkemuka di negara itu dan mempunyai beberapa kampus cawangan termasuk di Jakarta, Surabaya dan Purwokerto.

Perjanjian yang berkuat kuasa selama setahun itu turut merangkumi aspek pengiktirafan kredit akademik, kebajikan pelajar, sokongan mobiliti, perlindungan insurans, pematuhan akademik serta kerjasama dalam penerbitan dan perkongsian ilmu yang melibatkan pelajar kedua-dua institusi.

Kerjasama ini dijangka memberi manfaat besar kepada mahasiswa UMPSA dan Universitas Telkom melalui pengalaman pembelajaran antarabangsa yang lebih menyeluruh, sekali gus mengukuhkan hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri