Skip to main content
Industri Nadir Bumi dari Sudut Pandang Pembangunan Lestari  (Bahagian III)

Industri Nadir Bumi dari Sudut Pandang Pembangunan Lestari (Bahagian III)

Setelah membincangkan kesan industri nadir bumi dari aspek ekonomi, alam sekitar dan sosial, bahagian terakhir ini penulis akan kaitkan pula dengan konsep maqasid syariah.

Apa itu Maqasid Syariah?

Maqasid syariah secara umumnya membawa maksud objektif atau matlamat di sebalik undang-undang Islam. Dalam erti kata yang lain hikmah atau tujuan baik yang mahu dicapai oleh syariat Islam. Perbicaraan topik ini sangat luas. Salah satu topik yang hangat dibincangkan ialah bagaiman untuk membumikan maqasid syariah. Menurut Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, syariah ialah solusi pratikal yang mesti diambil faedah dan manfaatnya secara berterusan melangkau pelbagai bidang seperti kewangan, perubatan, pengurusan aset, kemasyarakatan, politik, rakyat, undang-undang, kebajikan dan sebagainya. Syariah mesti dilihat bergerak dan memainkan peranan penting yang berkesan ke arah hasil yang positif dan berimpak tinggi untuk semua pihak.

Menurut Dr. Jasser Auda, beliau menempatkan maqasid syariah sebagai prinsip mendasar dalam reformasi hukum Islam kontemporari. Penerapan suatu hukum Islam menurutnya bergantung kepada tingkat pencapaian tujuan sesuatu permasalahan seperti adakah lebih efektif, lebih berdaya maju, dan lebih membawa manfaat yang besar bagi umat dan manusia. Dr. Jasser Auda dalam bukunya ‘Memahami Maqasid Syariah’ ada membicarakan salah satu topik berkaitan maqasid syariah iaitu sadd ad-dara’i. Sadd ad-dara’i dalam Islam melibatkan pengharaman ataupun menghalang sesuatu yang harus jika ia membawa kepada perkara haram. Al-Qarafi mencadangkan konsep fath ad-dara’i sebagai pilihan kepada sadd ad-dara’i. Dalam konsep tersebut, beliau mencadangkan agar jalan-jalan yang membawa kepada matlamat yang dilarang harus ditutup manakala jalan-jalan yang membawa kepada matlamat yang diharuskan, harus dibuka. Mazhab Maliki juga mempunyai pandangan yang serupa. Bagi mereka, mengembangkan kaedah berfikir secara positif iaitu dengan membuka jalan-jalan bagi mencapai maqasid yang baik. 

Pembangunan Lestari dalam konteks fath ad-dara’i

Menilai industri nadir bumi dari konteks ini amat menarik. Dari sudut pandang maqasid, industri nadir bumi adalah satu hajiyyah atau keperluan kepada negara. Industri ini akan memberi limpahan ekonomi serta manfaat sosial kepada negara dan rakyat. Namun demikian, kesan terhadap alam sekitar serta impaknya kepada kesihatan manusia harus dipandang serius. Bagi memastikan industri nadir bumi ini lestari, semua pihak termasuk industri, kerajaan serta rakyat boleh memainkan peranan. 

Pihak industri misalnya perlu memastikan aktiviti perlombongan mahupun pemporosesannya mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub dalam akta seperti akta kualiti alam sekitar, jentera dan mesin, keselematan dan kesihatan pekerjaan dan akta-akta lain yang berkaitan. Kesatuan Eropah (EU) misalnya telah memperkenalkan satu kerangka perundangan bagi menyokong pertumbuhan industri nadir bumi yang mesra alam dan selamat selain mempromosikan amalam tebaik dalam pengurusan alam sekitar.

Industri Nadir Bumi dari Sudut Pandang Pembangunan Lestari  (Bahagian III)

                                               Akta-akta berkaitan industri perlombongan di EU (sumber: http://www.eurare.eu)

Akta-akta berkaitan industri perlombongan di EU (sumber: http://www.eurare.eu)

                                                    Akta-akta berkaitan industri pemprosesan di EU (sumber: http://www.eurare.eu)

 

Selain itu, pihak industri perlu menggiatkan program CSR bagi meningkatkan hubungan industri dengan masyarakat. Pelbagai program seperti lawatan tapak, town hall, pameran, dialog, forum dan lain-lain boleh dianjurkan dan secara tidak langsung meningkatkan hubungan dua hala serta maklumbalas antara industri dan masyarakat yang akhirnya memberi manfaat bersama. Selain itu, amat penting juga bagi industri untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif menutup sebarang kemudaratan kepada alam sekitar dan manusia dengan mengambil langkah preventif serta proaktif dalam operasi mereka seperti penggunaan bahan kimia mesra alam, pra-rawatan bahan mentah, teknologi cekap tenaga dan lain-lain. 

Sebagai pihak yang memantau operasi industri di Malaysia, kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pihak yang didapati mencemar alam sekitar seperti kompaun, denda bahkan penutupan operasi. Selain itu, cadangan Penubuhan JK Pemantauan yang terdiri pelbagai pemegang taruh adalah usaha yang baik dalam menangani risiko pencemaran alam sekitar secara lebih kolektif. Usaha-usaha pematuhan, penguatkuasaan dan pemantauan ini akan memastikan pembangunan yang jangka masa panjang dan kejadian seperti di Pasir Gudang tidak berulang. Secara proaktif juga kerajaan boleh memainkan peranan untuk mempromosi, mewujudkan inisiatif serta insentif bagi menggalakkan pertumbuhan industri huluan dan hiliran nadir bumi seperti geran penyelidikan, geran pembangunan produk dan lain-lain.

Rakyat juga boleh berperanan. Rakyat boleh menjadi kumpulan ketiga yang berperanan menegur pihak industri dan kerajaan untuk lebih prihatin dan responsif. Kebimbangan mereka terhadap isu alam sekitar menunjukkan secara langsung keprihatinan mereka, namun rakyat perlu bersikap objektif dan matang dan menjauhi dorongan sentimen dan emosi. 

Selain itu para ilmuan di universiti dan pusat kajian boleh manfaatkan daya reka serta inovasi mereka untuk memaju serta melestarikan industri ini. Kajian-kajian ilmiah boleh dijalankan bagi mengurangkan impak nadi bumi pada alam sekitar melalui kaedah perlombongan dan pemprosesan yang lebih mesra alam. Selain itu, tenaga pakar ini juga boleh melakukan kajian bagi menghasilkan produk berasaskan nadir bumi justeru menyokong industri teknologi tinggi negara seperti industri petrokimia, permotoran dan tenaga hijau.

 Apabila semua pihak mempunyai matlamat yang seiring dan memainkan peranan masing-masing, pembangunan industri nadir bumi akan menjadi lebih lestari untuk manfaat generasi akan datang.

Industri Nadir Bumi dari Sudut Pandang Pembangunan Lestari  (Bahagian III)

Disediakan oleh Prof. Madya Dr.-Ing. Mohamad Rizza Othman daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Malaysia Pahang (UMP). Emel: rizza@ump.edu.my

 

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri