Pasukan Antarabangsa Sertai Kejohanan Memanah UMP-Excella International Indoor Archery Championships 3.0
Kuantan, 15 Disember- Seramai 555 orang atlet dan pegawai berkampung di Universiti Malaysia Pahang (UMP) membabitkan penyertaan pasukan daripada enam negara iaitu Malaysia, India, Singapura, Turki, Brunei dan Perancis yang mengambil bahagian dalam kejohanan UMP-Excella International Indoor Archery Championships 3.0 baru-baru ini.
Kejohanan dianjurkan Pusat Sukan dan Kebudayaan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni dan Kelab Memanah UMP dengan kerjasama Excella Archery Distribution Sdn Bhd (Excella Archery Proshop) yang berpengkalan di Melaka.
Menurut Pegawai Belia & Sukan Kanan, Al-Muhaimin Ali selaku penasihat dan pengerusi kejohanan berkata, hadiah kejohanan yang ditaja oleh pihak Excella Archery Proshop berjumlah lebih daripada RM30,000.
“Buat pertama kalinya penganjuran ini berjaya menarik minat pasukan luar negara untuk bertanding. Pada kali ini menyaksikan penyertaan tiga pasukan dari negara India, 4 pasukan dari Singapura, 1 pasukan dari Turki, 1 pasukan dari Perancis dan 1 pasukan dari Brunei,” katanya.
Pihaknya mengharapkan kejohanan ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang dan mendapat sokongan kewangan daripada pihak UMP dan penaja dalam memastikan kejohanan sukan antarabangsa seperti ini diteruskan dan dapat menarik lebih ramai peserta luar Negara. Ianya secara tidak langsung akan dapat menaikkan nama UMP melalui penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dalam menjenamakan UMP di persada antarabangsa.
Manakala Mohamad Ikhmal Idham Ali Yasak yang merupakan Pengarah Kejohanan dari Kelab Memanah UMP berkata, kejayaan penganjuran kejohanan banyak dibantu oleh 100 mahasiswa UMP sebagai sukarelawan dan teknikal kejohanan. Mereka yang terlibat adalah atlet Memanah UMP, ahli Kelab Memanah UMP, Majlis Sukan Pelajar UMP dan mahasiswa yang mengikuti Kokurikulum Archery UQS2081-1G yang bertindak sebagai nadi penggerakan kepada kejayaan penganjuran kejohanan.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMP, Prof. Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin. Hadir sama Pengarah Excella Archery Distribution Sdn Bhd, Michael Song dan Ketua Pusat Sukan, Mohd Aznorizamin Ismail.
Pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) menjuarai kemenangan dengan memenangi enam emas dan satu gangsa, manakala tempat kedua keseluruhan dikongsi oleh tiga pasukan iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), HAFA Archery (HAFA) dan Putrajaya Archery Team (PAT) dengan dua emas. Pasukan UMP yang disertai seramai 14 orang pemanah telah berjaya memenangi dua pingat gangsa melalui Fadhli Ashraff Ab Rahim dalam acara Compound Men.
Disediakan oleh Al-Muhaimin Ali dan foto oleh Noor Atikah Nik Mat, Mohammad Faiz Azizi Khairil dan Nur Ali Razali
- 285 views