4 pelajar OKU pilih UMPSA, yakin dengan kemudahan pendidikan inklusif
PEKAN, 19 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmennya dalam menyediakan akses pendidikan tinggi yang inklusif apabila menerima pendaftaran seramai empat pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mengikuti pengajian diploma sempena sesi akademik 2026/2027 yang berlangsung hari ini.
Keempat-empat pelajar berusia antara 17 hingga 18 tahun itu memilih UMPSA sebagai destinasi pengajian tinggi bagi merealisasikan impian mereka untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diminati.
Mereka terdiri daripada Ahmad Muhammad 'Ainuddin, 18, dari Selangor dan Nur Ariffah Sabella Muhammad Arif Makandal, 18, dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mendaftar dalam program Diploma Sains Komputer di Fakulti Komputeran (FK), UMPSA Pekan.
Turut mendaftar ialah Muhamad Muadz Firdaus Muhamad Raifuedin, 18, dari Terengganu dan Muhammad Amin Al Hadi Hanafi, 17, dari Kedah yang akan mengikuti pengajian dalam program Diploma Sains Industri di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA Paya Besar.
Kehadiran mereka mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap usaha berterusan UMPSA dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, mesra OKU dan menyokong keperluan pelajar berkeperluan khas untuk berkembang secara holistik.
Bagi ibu kepada Ahmad Muhammad, Noorihan Abdul Ajis, keputusan memilih UMPSA dibuat selepas beliau melihat kesungguhan universiti dalam menyediakan kemudahan dan sokongan kepada pelajar OKU melalui penubuhan Pusat Teknologi dan Ekosistem Inklusif UMPSA.

Menurut beliau, kemudahan yang disediakan memberikan keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka akan mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya sepanjang tempoh pengajian.
"Saya memilih UMPSA kerana tertarik dengan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Pusat Teknologi dan Ekosistem Inklusif UMPSA yang sentiasa menyantuni pelajar OKU seperti anak saya.
"Sebagai ibu, saya berasa lebih yakin untuk menghantar anak melanjutkan pengajian di sini kerana universiti ini menyediakan persekitaran yang inklusif dan prihatin terhadap keperluan pelajar berkeperluan khas.
“Saya berharap Ahmad Muhammad akan terus cemerlang dalam pengajiannya dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh UMPSA," ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, universiti sentiasa komited untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menikmati peluang pendidikan tinggi yang berkualiti.
"UMPSA percaya bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk berjaya.
“Justeru, universiti akan terus memperkukuh ekosistem pembelajaran yang inklusif dan menyokong keperluan pelajar OKU agar mereka dapat berkembang, berdikari dan mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi," katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran semua pelajar baharu dan berharap mereka dapat memanfaatkan pengalaman pembelajaran di universiti untuk membina masa depan yang lebih cemerlang.
UMPSA sentiasa memberi perhatian terhadap aspek kebajikan, aksesibiliti dan pembangunan pelajar berkeperluan khas melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan menerusi Pusat Inklusif UMPSA, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan berupaya menyumbang kepada pembangunan negara.
Pendaftaran empat pelajar OKU pada hari ini menjadi bukti komitmen berterusan UMPSA dalam memperkasakan pendidikan inklusif dan memastikan setiap individu berpeluang mengakses pendidikan tinggi tanpa mengira latar belakang mahupun keupayaan fizikal mereka.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 90 views
Reports by: