Skip to main content

Dari makmal ke komuniti, teknologi UMPSA bantu anak inklusif

MARAN, 26 September 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pendidikan inklusif dan teknologi untuk masyarakat menerusi penganjuran Educational Community Rehabilitation for Inclusive Biomechanics (ECoRehaB) 2.0 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran, Pahang, baru-baru ini.

ECoRehaB anjuran Pusat Teknologi dan Ekosistem Inklusif (iNKLUSIF) UMPSA dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) serta rakan strategik, memberi tumpuan kepada pemerkasaan rehabilitasi, teknologi bantuan dan pendidikan inklusif, khususnya dalam menyokong keperluan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di daerah Maran. 

Program tersebut menghimpunkan lebih 70 anak-anak inklusif daripada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), selain melibatkan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPD Maran, ibu bapa, penjaga, guru, pensyarah dan fasilitator.

Majlis perasmian pembukaan disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik), FTKMA UMPSA, Ts. Dr. Mohamad Zairi Baharom. 

Turut hadir Pengarah iNKLUSIF UMPSA, Dr. Munira Abdul Razak; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Maran Sektor Pembelajaran, Mohamad Bakri Abdul Malek; Pengarah Program ECoRehaB 2.0, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Azrul Hisham Mohd Adib serta wakil rasmi Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Maran, Abdul Halim Rabu.
Antara pengisian utama ialah pertukaran Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) antara iNKLUSIF UMPSA dengan tiga PPDK di daerah Maran, iaitu PPDK Jalinan Siantan, PPDK Maran Sejahtera dan PPDK Seri Teratai. 

Kerjasama tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu, penyelidikan, pembangunan teknologi bantuan serta pengukuhan ekosistem pendidikan dan rehabilitasi inklusif bagi manfaat komuniti OKU.

Program turut menyaksikan pelancaran buku OKU edisi pertama terbitan Penerbit UMPSA berjudul ‘Inovasi Pembangunan Produk Berteknologi Inklusif Mesra OKU’ yang menghimpunkan panduan pembangunan peranti pemulihan berasaskan prinsip Reka Bentuk Sejagat (Universal Design). 

Buku tersebut merupakan hasil karya penyelidik UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Azrul Hisham Mohd Adib, Ts. Dr. Nurul Shahida Mohd Shalahim, Dr. Muhammad Hilmi Jalil, Idris Mat Sahat dan Dr. Munira Abdul Razak, dengan mengetengahkan inovasi seperti PhyMILL, PhyWALK, Sonic-G, AuWRITE dan AuSPEECHY.

Selain perkongsian ilmu, peserta berpeluang mengikuti demonstrasi peralatan rehabilitasi dan aktiviti terapi berasaskan permainan yang direka bagi memberikan pengalaman pembelajaran serta rehabilitasi secara lebih interaktif dan menyeronokkan. 

Penglibatan guru, fasilitator dan ibu bapa turut membantu memastikan anak-anak inklusif dapat mengikuti aktiviti mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.

Dua forum turut dianjurkan, iaitu Forum 1 bertajuk ‘Rehabilitasi dan Penjagaan Kesihatan OKU’ dan Forum 2 bertajuk ‘Hala Tuju Pendidikan Inklusif’, yang menampilkan ahli akademik, pakar fisioterapi, pegawai kesihatan serta pengamal pendidikan khas.

Forum pertama dikendalikan Ts. Dr. Nurul Shahida Mohd Shalahim dari UMPSA sebagai moderator dengan perkongsian oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kuantan Physical Therapy Centre (KPTC) merangkap Pakar Fisioterapi, Narimah Daud dan Pegawai Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Nur Hazreen Mohd Hasni. 

Sementara itu, Forum 2 dikendalikan oleh Ts. Dr. Ummu Kulthum Jamaludin dari UMPSA dengan panel Dr. Munira  Abdul Razak dan Penolong Kanan Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Beserah, Abdullah Mamat.
Kemuncak program ialah Majlis Perasmian Penutupan ECoRehaB 2.0 yang disempurnakan oleh Penyelaras DUN Chenor, Dato’ Sri Hajah Shahaniza  Shamsuddin. 

Turut hadir Pengarah Pusat Hubungan Komuniti UMPSA selaku wakil rasmi Naib Canselor UMPSA, Dr. Daing Mohamad Nafiz  Daing Idris dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Orang Kurang Upaya (JPO) Daerah Maran, Nor Aini Abu Bakar.

Pada majlis tersebut, tiga unit Toddler Mobility Trainer (TMT) diserahkan kepada wakil PPDK, PPKI dan JKM Maran bagi memperluas akses komuniti kepada teknologi bantuan dalam menyokong perkembangan dan mobiliti anak-anak inklusif. 

TMT berkenaan merupakan hasil inovasi dan kesukarelawanan penyelidik daripada Human Engineering Group (HUMEN) UMPSA yang dibangunkan menggunakan teknologi percetakan tiga dimensi (3D). 

Penghasilan tiga unit TMT tersebut turut mendapat sokongan Harimau3D Sdn. Bhd. menerusi penajaan bahan filamen bagi proses percetakan 3D komponen produk, sekali gus membantu merealisasikan usaha pemindahan teknologi daripada institusi pendidikan tinggi kepada komuniti.

Selain itu, Kuantan Physical Therapy Centre (KPTC) turut memberikan sokongan dan tajaan bagi menjayakan ECoRehaB 2.0, khususnya dalam aspek kepakaran fisioterapi, perkongsian ilmu serta sokongan berkaitan rehabilitasi dan penjagaan kesihatan OKU. 

Kerjasama antara UMPSA, agensi kerajaan, institusi pendidikan, organisasi komuniti dan rakan industri itu memperlihatkan pendekatan kolaboratif dalam memastikan hasil penyelidikan dan inovasi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Menurut Pengarah iNKLUSIF UMPSA, Dr. Munira Abdul Razak, ECoRehaB 2.0 bukan sekadar platform perkongsian ilmu, malah menjadi medium untuk menghubungkan kepakaran akademik, penyelidikan dan inovasi dengan keperluan sebenar komuniti.

“Melalui ECoRehaB 2.0, kami mahu memastikan teknologi dan hasil penyelidikan tidak hanya berada di makmal atau institusi pengajian tinggi, tetapi dapat dibawa terus kepada masyarakat, khususnya anak-anak inklusif yang memerlukan sokongan dalam aspek rehabilitasi, mobiliti dan pendidikan,” ujarnya. 

Sementara itu, Pengarah Program ECoRehaB 2.0, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Azrul Hisham Mohd Adib berkata, pendekatan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ yang diterapkan menerusi program itu turut menekankan kepentingan kerjasama antara universiti, agensi kerajaan, institusi pendidikan, pengamal rehabilitasi, industri dan komuniti dalam membangunkan penyelesaian yang lebih inklusif serta bersesuaian dengan keperluan pengguna.

“Sumbangan rakan strategik seperti Harimau3D Sdn. Bhd. melalui penajaan bahan filamen bagi penghasilan TMT serta sokongan KPTC dalam aspek kepakaran dan rehabilitasi membuktikan bahawa transformasi hasil penyelidikan kepada manfaat masyarakat memerlukan ekosistem kerjasama yang kukuh,” katanya.

Kerjasama yang dibentuk menerusi ECoRehaB 2.0 diharap dapat diteruskan dan diperluaskan melibatkan PPDK, PPKI, JKM, PPD, institusi pendidikan serta komuniti setempat bagi memastikan manfaat teknologi bantuan, pendidikan inklusif dan rehabilitasi dapat dinikmati secara berterusan oleh anak-anak inklusif dan keluarga mereka.

Dr. Munira Abdul Razak, Pengarah Pusat iNKLUSIF, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Dr. Munira Abdul Razak, Pengarah Pusat iNKLUSIF, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Pengarah program ECoRehaB 2.0, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Azrul Hisham bin Mohd Adib,   

Pengarah program ECoRehaB 2.0, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Azrul Hisham bin Mohd Adib,

Sesi Pertukaran LOI antara Pusat iNKLUSIF UMPSA dengan 3 PPDK Maran   

Sesi Pertukaran LOI antara Pusat iNKLUSIF UMPSA dengan 3 PPDK Maran

 Barisan Penulis Buku OKU Edisi Pertama UMPSA

Barisan Penulis Buku OKU Edisi Pertama UMPSA

 Barisan Penulis Buku OKU Edisi Pertama UMPSA

Ahli panel berkongsi pandangan dalam Forum Rehabilitasi dan Penjagaan Kesihatan OKU bersempena dengan program ECoRehaB 2.0, sambil disaksikan para peserta.

Sesi penyerahan TMT kepada pengerusi dan wakil daripada tiga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Maran

 
Sesi penyerahan TMT kepada pengerusi dan wakil daripada tiga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Maran

Seorang penyelidik UMPSA memperkenalkan peranti bantuan mesra OKU kepada Dato’ Sri Hajah Shahaniza  Shamsuddin, Penyelaras DUN Chenor.

 
Seorang penyelidik UMPSA memperkenalkan peranti bantuan mesra OKU kepada Dato’ Sri Hajah Shahaniza  Shamsuddin, Penyelaras DUN Chenor.

Bola kecil, keceriaan besar. Kanak-kanak bermain bersama rakan-rakan dalam sesi permainan terapeutik.

Bola kecil, keceriaan besar. Kanak-kanak bermain bersama rakan-rakan dalam sesi permainan terapeutik.

Langkah kecil, semangat besar. Seorang kanak-kanak mencuba permainan susun cakera dengan bimbingan petugas.

 
Langkah kecil, semangat besar. Seorang kanak-kanak mencuba permainan susun cakera dengan bimbingan petugas.

Kanak-kanak OKU bersama penjaga dan fasilitator menyertai aktiviti permainan terapeutik dalam suasana ceria dan inklusif.   

 
Kanak-kanak OKU bersama penjaga dan fasilitator menyertai aktiviti permainan terapeutik dalam suasana ceria dan inklusif.

Pendekatan bermain sambil belajar menjadi antara aktiviti utama ECoRehaB 2.0 bagi membantu merangsang kemahiran motor dan interaksi kanak-kanak OKU.

 
Pendekatan bermain sambil belajar menjadi antara aktiviti utama ECoRehaB 2.0 bagi membantu merangsang kemahiran motor dan interaksi kanak-kanak OKU.

 

Aktiviti permainan terapeutik turut memberi peluang kepada peserta OKU mengasah kemahiran kognitif dan motor melalui pendekatan pembelajaran yang interakt

Aktiviti permainan terapeutik turut memberi peluang kepada peserta OKU mengasah kemahiran kognitif dan motor melalui pendekatan pembelajaran yang interakt

Disediakan Oleh: Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Azrul Hisham Mohd Adib, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri