Skip to main content

Kekurangan bukan penghalang, anak tunggal OKU bawa harapan keluarga melangkah ke UMPSA

PEKAN, 19 September 2026 – Kekurangan bukan penghalang buat Muhammad Hazrik Iskandar Abdul Hafiz, 20 untuk menyambung pelajaran dan mendaftar sebagai pelajar baharu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi sesi akademik 2026/2027.

Anak kelahiran Jerantut, Pahang itu yang merupakan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) kini mengikuti pengajian Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UMPSA Pekan.

Beliau merupakan lepasan Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah, Kuala Lipis dalam bidang vokasional dan berjaya memperoleh Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dengan PNGK 3.81, sekali gus membuka peluang untuknya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.

Sebagai seorang pelajar OKU yang mempunyai kekurangan pada penglihatan, beliau mengakui perjalanan pendidikannya bukan sentiasa mudah. 

“Pada awal pembelajaran dahulu, saya rasa agak susah untuk mengikuti mata pelajaran yang diajarkan oleh guru. 

"Jadi, saya perlu lebih banyak mengulang kaji untuk mengejar rakan-rakan yang lain,” katanya.

Namun, kekurangan itu tidak pernah dijadikan alasan untuk mengalah. Sebaliknya, beliau menjadikan cabaran tersebut sebagai dorongan untuk berusaha lebih gigih dan membuktikan bahawa beliau juga mampu bersaing dalam bidang akademik.

Di sebalik kejayaan itu, tersimpan pengorbanan besar kedua-dua ibu bapanya, Norfaizah Zainal Abidin, seorang suri rumah, dan Safari Abdul Rahman yang bekerja sebagai buruh kasar.

Sebagai anak tunggal, beliau menjadi harapan besar keluarga. 

Segala keperluan persekolahan dan pengajiannya sedaya upaya disediakan oleh ibu bapanya walaupun kehidupan keluarga bukan dalam keadaan serba berada.

“Individu yang paling banyak memberikan sokongan tentulah keluarga saya. 

"Mereka sanggup mencari wang untuk membeli perlengkapan untuk saya dan sanggup kekurangan tidur untuk mencari wang.

“Kata-kata yang paling saya ingat ialah, ‘Along belajar rajin-rajin tau, jangan main-main. Ingat kita bukan orang senang' dan dari situ saya tidak mahu mengecewakan mereka,” katanya.

Bagi ibunya, Norfaizah, perasaan berat hati untuk melepaskan anak tunggalnya melangkah ke alam universiti tetap ada, lebih-lebih lagi apabila anaknya itu mempunyai kekurangan sebagai seorang OKU.

Namun, demi masa depan anaknya, beliau dan suami memilih untuk memberikan kepercayaan serta sokongan sepenuhnya agar anaknya dapat berdikari dan membina kehidupan yang lebih baik.

“Memang berat hati hendak melepaskan anak tunggal, lebih-lebih lagi dengan keadaan dia yang ada kekurangan. 

"Tetapi kami tahu ini untuk masa depan dia. 

"Kami mahu dia belajar, berdikari dan buktikan dia juga boleh berjaya,” katanya.

Bagi Muhammad Hazrik Iskandar pula, peluang melanjutkan pengajian di UMPSA merupakan satu pencapaian yang amat bermakna kerana beliau dapat melangkah lebih jauh dalam pendidikan, selain membalas pengorbanan keluarganya.

Beliau mengenali UMPSA melalui keluarga dan rakan-rakan sebelum membuat keputusan untuk memilih universiti berkenaan sebagai destinasi pengajian.

“Saya rasa gembira kerana dapat melangkah lebih maju. 

"Keluarga menemani saya mendaftar dan mereka sangat gembira kerana saya mendapat peluang untuk membuktikan diri saya,” katanya.

Sebagai pelajar OKU, beliau berharap dapat meneruskan pengajian dalam persekitaran yang baik dan mendapat kemudahan serta sokongan yang dapat membantu kelancaran pembelajarannya.

Beliau turut berharap diberikan sedikit kelonggaran masa ketika menduduki peperiksaan serta kemudahan penginapan yang bersesuaian sepanjang tempoh pengajian.

“Jangan lupa di mana kita berasal dan ingat pengorbanan yang telah dilakukan oleh keluarga kita. Jangan sia-siakan pengorbanan mereka,” pesannya.

Semasa Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi 2026/2027, beliau turut menerima Bantuan Insentif Pendidikan daripada Yayasan UMPSA yang disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias. 

Bantuan tersebut menjadi satu lagi suntikan semangat kepada Muhammad Hazrik dan keluarganya untuk meneruskan perjalanan pendidikan tanpa menjadikan kekangan kewangan sebagai penghalang.

Dalam kesempatan itu, Profesor Ts. Dr. Yatimah turut memberikan kata-kata pembakar semangat kepada Muhammad Hazrik agar terus yakin terhadap kemampuan diri, menggunakan peluang pendidikan dengan sebaik-baiknya dan tidak menjadikan kekurangan sebagai batasan untuk mencapai impian.

Sokongan universiti itu memberi keyakinan kepada Muhammad Hazrim bahawa beliau mempunyai ruang untuk belajar, berkembang dan mencapai potensi diri dalam persekitaran yang lebih inklusif.

Beliau merupakan antara 2,618 pelajar baharu yang mendaftar di UMPSA bagi sesi akademik kali ini.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri