Pelajar OKU lepasan Kolej Vokasional Sabah pilih UMPSA teruskan pengajian TVET
PEKAN, 19 September 2026 – Nur Sarah Damia Hairulakmal, 20, pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dari Sabah memilih Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) untuk meneruskan pengajian dalam bidang TVET, selepas menamatkan pengajian vokasional dalam bidang Teknologi Elektrik di Kolej Vokasional Beaufort, Sabah.
Beliau merupakan antara pelajar baharu yang mendaftar sempena Hari Pendaftaran Pelajar Baharu UMPSA 2026/2027 dan kini mengikuti program Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UMPSA Pekan.
Mempunyai masalah pendengaran sebelah telinga kanan, beliau tidak menjadikan keadaan tersebut sebagai penghalang untuk meneruskan pendidikan tinggi, sebaliknya memilih untuk terus membina masa depan melalui laluan TVET yang telah menjadi asas pendidikan dan kemahirannya sejak di Kolej Vokasional Beaufort.
Beliau turut memiliki kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3 serta Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebelum melangkah ke peringkat ijazah di UMPSA.
Menurut Nur Sarah, cabaran utama yang dihadapinya sebagai pelajar OKU adalah untuk mengekalkan fokus ketika mengikuti sesi pembelajaran yang panjang.
“Saya perlu menggunakan tenaga yang banyak untuk fokus selama berjam-jam apabila menghadiri kelas pensyarah.
“Apabila terlalu lama menggunakan deria pendengaran untuk fokus terhadap sesuatu perkara, saya mudah tertidur dan kurang rasa untuk berinteraksi dengan orang lain,” katanya.
Namun, keadaan tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian.

Sebaliknya, beliau mahu menggunakan peluang berada di UMPSA untuk menimba sebanyak mungkin ilmu, mengembangkan kemahiran serta melibatkan diri dalam aktiviti pelajar.
Tambahnya, latar belakang pendidikan vokasional yang dimilikinya menjadi asas penting dalam perjalanan untuk melangkah ke peringkat pengajian tinggi.
“Saya mengenali UMPSA melalui saudara-mara yang pernah melanjutkan pengajian di UMPSA sebelum membuat keputusan untuk memilih UMPSA.
“Saya melihat UMPSA sebagai universiti TVET kerana memberikan banyak peluang, terutamanya kepada pelajar TVET.
“Secara jujurnya, selagi saya dapat meneruskan pengajian untuk menuntut ilmu, saya yakin institusi tersebut merupakan jalan yang telah ditetapkan untuk membantu saya berkembang demi masa depan,” katanya.
Pilihan beliau untuk meneruskan pengajian di UMPSA turut memperlihatkan kesinambungan laluan pendidikan daripada kolej vokasional kepada pengajian tinggi berasaskan TVET.
Perjalanan dari Sabah ke Pahang untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa juga menjadi pengalaman baharu buat beliU yang teruja untuk merasai suasana baharu di Semenanjung Malaysia, walaupun pada awalnya berasa sedikit gementar.
“Saya teruja untuk merasai suasana baharu di Semenanjung Malaysia, walaupun pada awalnya berasa sedikit gementar.
“Persiapan dilakukan dengan bantuan ibu saudara saya sebelum ibu dan ahli keluarga saya yang lain turut menemani saya ke UMPSA bagi urusan pendaftaran.
“Pengalaman datang dari Sabah ke Pahang tidak terlalu asing kerana saya berasal dari Johor tetapi telah lama menetap di Sabah dan terbiasa dengan persekitaran kedua-dua tempat,” ujarnya.
Lebih bermakna, hari pendaftaran tersebut turut memberi peluang kepada beliau untuk bertemu dan meluangkan masa bersama Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang turut menyantuni beliau dalam suasana pendaftaran pelajar baharu.
Pertemuan tersebut menjadi satu pengalaman istimewa buat beliau apabila Naib Canselor UMPSA turut menitipkan pesanan dan kata-kata semangat agar beliau tidak menjadikan keadaan dirinya sebagai batasan untuk mencapai kejayaan dalam pengajian.
Sokongan dan perhatian yang diberikan itu turut memberi keyakinan kepada beliau untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa, khususnya sebagai pelajar OKU yang datang dari jauh untuk mengejar cita-cita dalam bidang TVET.
Di sebalik perjalanan tersebut, sokongan keluarga menjadi antara kekuatan beliau untuk meneruskan pendidikan.
Ibunya, Norashikin binti Annuar merupakan pegawai Kastam, manakala bapanya, Hairulakmal bin Abdul Karim bertugas sebagai pegawai tentera laut.
Beliau menambah, ibu bapa sentiasa memberikan sokongan dan kebebasan kepadanya untuk memilih institusi serta bidang pengajian yang diminatinya.
“Saya sayang dan sangat menghargai setiap usaha mereka.
“Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya,” katanya.
Beliau merupakan antara 2,618 pelajar baharu yang mendaftar di UMPSA bagi sesi akademik kali ini.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)
- 36 views
Reports by: