Skip to main content

Program Gaya Hidup Aktif Inklusif Holistik: Sukan Inklusif OKU PPDK 2026 (SiHAT 2026)

KUANTAN, 13 Februari 2026 – Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) DAMAi Pekan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Bahagian Pembangunan Orang Kurang Upaya serta Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Pusat Perkhidmatan Inklusif (PPi) dan Pusat Sukan telah menganjurkan Program Gaya Hidup Sihat Inklusif Holistik: Sukan Inklusif OKU PPDK 2026 (SiHAT 2026).

Program SiHAT 2026 ini telah dilaksanakan selama lima hari bermula 9 hingga 13 Februari 2026 di BCIC Lodge dengan penglibatan seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada warga 31 PPDK dari seluruh Negeri Pahang. 

Program ini merupakan inisiatif bersepadu yang menekankan kepentingan sukan inklusif, gaya hidup aktif serta kesejahteraan holistik dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).

Majlis Perasmian Penutup program telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Khairul Amri Ahmad. 

Beliau menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran atas kejayaan pelaksanaan program serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya PPDK DAMAi Pekan, PPDK seluruh Negeri Pahang, Bahagian Pembangunan OKU JKM Negeri Pahang, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, dan pihak UMPSA atas jalinan kolaborasi strategik yang telah memastikan kelancaran program.

“Penganjuran SiHAT 2026 bukan sekadar aktiviti sukan semata-mata, tetapi merupakan satu bentuk sokongan kepada Akta Orang Kurang Upaya 2008 yang memberi penekanan terhadap hak golongan OKU untuk mendapat akses kepada sukan dan kehidupan berbudaya. 

“Sukan inklusif perlu dilihat sebagai medium transformasi sosial dan pemerkasaan OKU, yang membina disiplin, keyakinan diri, semangat kerjasama serta daya tahan dalam menghadapi cabaran.

Tambahnya, pendekatan whole-of-society yang menggabungkan kepakaran institusi pengajian tinggi, peranan PPDK sebagai pusat pemulihan komuniti serta sokongan agensi kerajaan amat penting dalam memperkukuh ekosistem pemerkasaan OKU secara menyeluruh. 

“Saya berharap program ini dapat diteruskan sebagai program tahunan dan seterusnya diperluaskan ke seluruh daerah di Negeri Pahang agar lebih ramai golongan OKU mendapat manfaatnya,” ujarnya.

Pelaksanaan program dimulakan dengan slot audio siar secara hibrid bertempat di Studio Hab Digital Inklusif, Perpustakaan UMPSA Pekan yang mengetengahkan topik Gaya Hidup Aktif dan Holistik dan Sukan OKU Pemangkin Komuniti Inklusif. 

Slot ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap pembangunan sukan inklusif OKU.

Program Gaya Hidup Aktif Inklusif Holistik

Sepanjang program, peserta turut terlibat secara aktif dalam latihan sukan dan penilaian atlet melibatkan sukan tenpin boling, bocce dan olahraga seperti larian pecut, lontar peluru dan lompat jauh, di samping sesi saringan kesihatan bagi memastikan tahap kecergasan dan keselamatan peserta berada pada tahap optimum. 

Pendekatan ini sejajar dengan matlamat program untuk membentuk keseimbangan dari aspek fizikal, mental, emosi dan sosial.

Turut hadir Pengerusi PPDK DAMAi Pekan merangkap Pengarah PPi UMPSA, Dr. Munira Abdul Razak, Timbalan Pengarah Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Mohamad Suhaizan Selamat, Wakil Pengarah Majlis Sukan Pahang, Sarimah Hashim, Ketua Bahagian Pembangunan OKU, JKM Negeri Pahang, Hafizzul Amri Hassan, serta Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan, Norbaizura Abdul Latiff dan YM Raja Muhd Uliyamin Raja Yunus. 

Secara keseluruhannya, Program SiHAT 2026 telah mencapai objektifnya dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara PPDK, meningkatkan penyertaan OKU dalam aktiviti sukan serta menyokong agenda kesejahteraan dan keterangkuman sosial selaras dengan aspirasi pembangunan masyarakat inklusif.

Disediakan Oleh: Nurul Izzah Abu Bakar, Pusat Perkhidmatan Inklusif

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri