Program SULAM ECoRehaB 1.0 UMPSA kongsi ilmu biomekanik dan rehabilitasi dalam pemerkasaan komuniti OKU
KUANTAN, 12 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya dalam pemindahan ilmu dan pembangunan komuniti apabila menganjurkan Program Educational Community Rehabilitation and Biomechanics Programme (ECoRehaB 1.0) yang memberi fokus kepada aspek biomekanik, rehabilitasi, dan teknologi mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
Program anjuran Human Engineering Group (HEG), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) itu dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Perkhidmatan Inklusif (PPi) UMPSA, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kompleks Penyayang Kuantan dan Kuantan Physical Therapy Center (KPTC) di Kompleks Penyayang Kuantan.
Seramai 16 pelajar UMPSA bertindak sebagai fasilitator menerusi pelaksanaan Program Pembelajaran Berasaskan Komuniti (Service Learning Malaysia-University for Society atau SULAM) bagi Kursus Biomechanics & Biomedical Engineering Application.
Turut serta seramai 21 ibu bapa, penjaga dan peserta OKU.
Pengarah Pusat Perkhidmatan Inklusif (PPi) UMPSA, Dr. Munira Abdul Razak berkata, kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi, pusat rehabilitasi dan komuniti amat penting dalam memperkasakan pembangunan teknologi inklusif serta intervensi rehabilitasi yang berkesan.
“Kerjasama strategik seperti ini bukan sahaja membuka ruang perkongsian kepakaran, malah mampu meningkatkan kualiti hidup golongan OKU dan keluarga mereka melalui pendekatan yang lebih holistik dan berdaya saing,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang dirangka bagi meningkatkan kefahaman berkaitan pengurusan rehabilitasi, penjagaan kesihatan dan penggunaan teknologi dalam menyokong perkembangan individu berkeperluan khas.
Antara pengisian utama ialah sesi keibubapaan yang dikendalikan Pakar Fisioterapi KPTC, Narimah Daud, yang memberi pendedahan kepada ibu bapa dan penjaga mengenai pendekatan rehabilitasi yang sesuai serta kaedah sokongan berkesan kepada anak-anak berkeperluan khas.
Program turut menampilkan sesi perkongsian ilmu oleh Pegawai Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Nur Hazreen Mohd Hasni, yang menyentuh aspek penjagaan kesihatan menyeluruh, pengesanan awal masalah perkembangan serta kepentingan intervensi berterusan dalam membantu perkembangan fizikal, kognitif dan sosial kanak-kanak berkeperluan khas.
Selain ceramah dan perkongsian ilmu, peserta turut terlibat dalam pelbagai aktiviti dan permainan terapeutik yang membantu meningkatkan kemahiran motor, koordinasi serta interaksi sosial melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.
Salah satu tarikan utama program ialah sesi pengenalan peranti inovasi mesra OKU yang mempamerkan hasil penyelidikan dan teknologi rehabilitasi yang dibangunkan oleh penyelidik serta pelajar UMPSA.
Pendedahan itu memberi peluang kepada peserta dan penjaga memahami peranan teknologi dalam membantu proses rehabilitasi serta meningkatkan kualiti hidup individu OKU.
Sementara itu, Pengarah Program, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Azrul Hisham Mohd Adib berkata, penganjuran ECoRehaB 1.0 membuktikan komitmen universiti dalam memanfaatkan kepakaran akademik untuk kesejahteraan masyarakat.
“Program ini menjadi platform penting yang menghubungkan kepakaran universiti dengan keperluan sebenar komuniti, sekali gus memperkukuh agenda keterangkuman sosial melalui pendidikan, rehabilitasi dan inovasi teknologi,” ujarnya.
Majlis penutupan disempurnakan oleh wakil Dekan FTKMA UMPSA merangkap Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Firdaus Hassan.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperluas impak kepada komuniti, khususnya dalam memperkasakan kesejahteraan golongan OKU melalui pendekatan pendidikan dan teknologi yang inklusif.
Program tersebut turut mendapat sokongan padu daripada ahli jawatankuasa yang komited, iaitu Ts. Dr. Nurul Shahida Mohd Shalahim dan Muhammad Shahminan Lukman, yang memainkan peranan penting dalam memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan program berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.
Penganjuran ECoRehaB 1.0 mencerminkan aspirasi UMPSA untuk terus memanfaatkan kepakaran universiti demi kesejahteraan masyarakat selaras dengan slogan universiti iaitu ‘Teknologi untuk Masyarakat’.
Disediakan Oleh: Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Azrul Hisham Mohd Adib, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA)
- 55 views
Reports by: