KUANTAN, 29 Ogos 2026 — Pasukan E-Motion UMPSA Motorsport Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkasa bakat mahasiswa dalam teknologi automotif berprestasi tinggi apabila bersedia menggalas cabaran dalam teknologi kenderaan elektrik (EV), hibrid (HEV) dan kenderaan autonomi menerusi Next Generation Vehicle (NxGV) Challenge 2026-2027.
Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias berkata penglibatan mahasiswa dalam pasukan berkenaan bukan sekadar memberi pengalaman dalam perlumbaan, malah menjadi platform mengaplikasikan ilmu akademik secara praktikal, khususnya dalam pembangunan kenderaan berprestasi tinggi.
“Pasukan E-Motion bukan sekadar sebuah pasukan perlumbaan, tetapi merupakan wadah pembentukan bakat serba boleh yang menggabungkan kemahiran teknikal, kepimpinan, penyelesaian masalah serta kerja berpasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera lumba berenjin dan elektrik terbaharu Pasukan E-Motion UMPSA Motorsport sempena Temasya Warisan Pahang 2026 di Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, baru-baru ini.
Majlis pelancaran itu turut disempurnakan bersama Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abd Jalal serta disaksikan Penasihat Kelab UMPSA Motorsport, Ts. Dr. Mohd Fadzil Abdul Rahim.
Prof Yatimah berkata Pasukan E-Motion pada asalnya ditubuhkan di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif sebelum bernaung secara rasmi di bawah Kelab UMPSA Motorsport pada November 2025.
Beliau berkata pasukan itu menghimpunkan mahasiswa daripada bidang teknologi, teknologi kejuruteraan dan kejuruteraan, termasuk pelajar program ijazah dual UMPSA.
Menurutnya, fokus utama pasukan adalah menguasai kejuruteraan kenderaan berprestasi tinggi serta teknologi EV, HEV dan sistem autonomi yang semakin berkembang dalam industri automotif.
“Rekod kejayaan pasukan ini amat membanggakan apabila Pasukan E-Motion telah mula mencuri perhatian negara apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan pada siri pertama Next Generation Vehicle (NxGV) Challenge 2025 yang dianjurkan oleh MARii dan SAE Malaysia bersama penaja utama PERODUA,” katanya.
Kecemerlangan itu diteruskan menerusi penyertaan dalam Formula Student Malaysia (FSM2026) di Litar Dato’ Sagor, Perak pada 21 hingga 23 April lepas dalam dua kategori utama iaitu 150cc Internal Combustion Engine (ICE) dan Electric Vehicle (EV).
Kini, Pasukan E-Motion UMPSA Motorsport bersedia menggalas cabaran NxGV Challenge 2026-2027 dalam tiga kategori utama iaitu HEV, EV dan Driverless Vehicle (DV).
Cabaran terdekat kategori Driverless Vehicle (Tahap 1) dijadual berlangsung dari 24 hingga 27 September ini, manakala pertandingan kategori EV dan HEV akan berlangsung dari 11 hingga 15 November depan.
Keseluruhan cabaran berkenaan akan memuncak menerusi Grand Finale NxGV 2026-2027 yang dijadual berlangsung sempena Malaysia Autoshow 2027 pada Mei tahun depan.
Tambah beliau, penyertaan mahasiswa dalam pertandingan berkenaan selari dengan komitmen UMPSA sebagai universiti berteraskan kejuruteraan dan teknologi untuk menyediakan platform terbaik kepada pelajar mengembangkan kemahiran serta mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar.
Dalam pada itu, UMPSA turut melancarkan jentera lumba berenjin dan elektrik terbaharu hasil reka bentuk serta kejuruteraan mahasiswa universiti itu sempena Temasya Warisan Pahang 2026 yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 7 September ini.