Skip to main content

Pastikan A+, pesan Sultan Pahang kepada calon SPM 2025

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendoakan semua bakal calon yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 memperoleh keputusan paling cemerlang.

Titah baginda lagi, kegagalan bukan satu pilihan kepada calon-calon SPM.

“A+. Nothing less than A+,” titah baginda kepada 2,000 pelajar calon SPM seluruh negeri Pahang yang menyertai Program Road Tour Skor A+ SPM Pahang 2025 dan Tuisyen Komuniti YASA UMPSA 2025 hari ini.

Baginda sebelum itu berkenan merasmikan program seminar itu yang dianjurkan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama strategik PTTI Group Sdn. Bhd di Dewan Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang, di sini.

Turut berangkat ke program itu Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Seminar yang berlangsung selama dua hari itu memberi fokus kepada strategi pembelajaran berkesan, teknik menjawab soalan serta pengukuhan motivasi pelajar bagi meningkatkan pencapaian akademik menjelang peperiksaan SPM.

Pada masa yang sama, Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA 2025 merupakan inisiatif strategik hasil kerjasama Yayasan UMPSA dan YASA yang dirangka khusus untuk membantu komuniti setempat, terutamanya pelajar tingkatan lima di sekolah menengah sekitar daerah Pekan dan Kuantan.

Objektif utamanya ialah menyediakan persiapan awal yang tersusun kepada pelajar B40/Asnaf supaya lebih yakin dan terarah menghadapi SPM.

Sementara itu, salah seorang calon SPM, Nor Afina Syazana Nor Affri,17 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai berkata, dia menimba banyak pengetahuan baru yang tidak dipelajari dalam kelas di sekolah.

Author
azwin