KUANTAN, 19 JUN 2025 : Golongan petani muda disaran mengaplikasikan bidang pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) bagi memastikan bidang pertanian berkembang maju dan dapat menjana lebih pendapatan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak, bagi memastikan ia dapat dilaksanakan, Kerajaan Negeri Pahang bercadang akan mengadakan kolaborasi bersama pihak Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
“Aplikasi TVET ini di semua disiplin, semua sektor, bukan sahaja pertanian tapi every aspect in industry. Saya lihat tadi (pameran) banyak yang boleh kita ketengahkan dan aplikasi ini khususnya dalam bidang pertanian.
“Dan pihak UMPSA ada menghasilkan satu projek pengeluaran makanan untuk ternakan, dan juga projek itik yang boleh mendatangkan hasil yang cukup lumayan yang boleh diperkenalkan kepada bukan sahaja golongan petani sedia ada tetapi menjadi satu pendorong kepada usahawan muda yang kita tahu mereka tidak mahu menggunakan pendekatan tradisional, nak gunakan teknologi, IoT.
“Tadi pun kita telah maklum kepada VC UMPSA yang kita akan buat kolaborasi dengan penglibatan daripada anak-anak muda bahawasanya pertanian bukanlah sunset industry, tetapi a merging and future industry,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Terbuka UMPSA bersempena Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi & Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; dan Naib Canselor UMPSA, YBhg. Prof. Dr. Yatimah Alias.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak pada Sambutan Hari Terbuka UMPSA bersempena Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang.
Menurut beliau, aplikasi TVET dalam bidang pertanian juga dilihat penting dan tidak akan mengalami penurunan permintaan memandangkan makanan adalah sumber yang amat diperlukan.
“Selagi orang perlukan makanan, selagi itu ada pertanian. Dan petani boleh menggunakan aplikasi teknologi seperti dron yang dapat digunakan bagi menabur benih, meracun, dan lain-lain.
“Ini merupakan bukti pendekatan menggunakan kemahiran ini tadi dapat menjadi satu pembuka peluang kepada semua pihak termasuk kepada mereka yang tidak memiliki keupayaan secara fizikal,” katanya.
Mengulas mengenai ladang ternakan lembu wagyu di Pahang, beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang akan menghantar pelajar ke Australia pada Ogos hadapan bagi mempelajari cara pengurusan haiwan berkenaan.
“Baru-baru ini kita telah dapat melahirkan lebih kurang 60 penyembelih profesional yang kita latih melalui YP Advanced Skills Center iaitu melatih penyembelih profesional dan beri mereka latihan untuk buat proses melapah.
“Mereka boleh tahu mana satu tenderloin, mana satu ribeye, mana satu t-bone, bila kita lapah lembu itu, kita boleh bagi by parts, berbeza.
“Dan insyaAllah dijangka dalam bulan Ogos, kita akan hantar student ini pergi ke Australia untuk pendedahan placement dengan slaughterhouse di sana. Dan mereka akan dapat bantu kita dalam ladang ternakan wagyu Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA