Skip to main content

UMPSA diiktiraf 609 terbaik dunia dalam QS WUR

PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melonjak di tangga ke-609 terbaik dunia dalam penarafan QS World University Rankings (QS WUR) 2026 yang diumum baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias berkata, kedudukan itu mengekalkan kedudukan UMPSA sebagai universiti teknikal nombor satu terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Lebih membanggakan bagi petunjuk sitasi per fakulti UMPSA berada di kedudukan kedua terbaik di Malaysia. Indikasi ini menunjukkan karya penyelidikan dari fakulti di UMPSA berkualiti dan sering dirujuk dalam penerbitan akademik lain.

”Berdasarkan kriteria penilaian QSWUR 2026 merangkumi reputasi akademik, sitasi per fakulti, reputasi pekerja, nisbah fakulti dan pelajar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Yatimah, UMPSA turut berada pada kedudukan kelapan terbaik di Malaysia bagi indikasi rangkaian penyelidikan antarabangsa yang memberikan petunjuk kerjasama penyelidikan yang melibatkan institusi, universiti atau penyelidik daripada pelbagai negara dalam usaha menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi.

Selain itu, pencapaian UMPSA dalam penarafan Times Higher Education Impact Rankings (THEIR) 2025 membanggakan apabila berada di tangga 101-200 terbaik yang menilai penglibatan universiti itu berasaskan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan komponen utama dinilai adalah penyelidikan, pengurusan, jaringan dan pengajaran.

“UMPSA juga berada pada kedudukan pertama #1 di Malaysia dan kedudukan 18 terbaik dunia bagi SDG7: Tenaga Mampan dan Berpatutan.

“Bagi penarafan THEIR ini, UMPSA berada di kedudukan 5 terbaik di Malaysia dan kedudukan pertama di kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN),” tambahnya.

UMPSA akan terus memperkayakan penyelidikan dalam pembangunan lestari dan teknologi hijau serta memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju atau dikenali sebagai Advanced TVET seiring dengan hasrat universiti menjadi Hab TVET Termaju di ASEAN.

Yatimah turut berbangga atas pencapaian UMPSA yang membanggakan dalam usaha universiti dalam menangani masalah dunia berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). – MalaysiaGazette

Author
azwin