KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjalin kerjasama strategik dengan Move Robotic Sdn. Bhd. dan Pixel Intelligence Co., Ltd. (PIX Moving) menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bagi mempercepat pembangunan dan penerapan teknologi mobiliti pintar di Malaysia melalui penyelidikan, penyesuaian teknologi dan aplikasi industri.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, kerjasama antara UMPSA, Move Robotic dan PIX Moving menyediakan ruang untuk penyelidikan menyokong penyesuaian teknologi serta pembangunan aplikasi mobiliti pintar yang relevan dengan keperluan Malaysia.
“Nilai kerjasama ini terletak pada keupayaan yang dapat kita bangunkan bersama.
“Pelaksanaan teknologi perlu disertai penguasaan pengetahuan, pengalaman teknikal dan keupayaan menyelesaikan masalah agar manfaatnya dapat menyumbang kepada pemerkasaan ekosistem mobiliti pintar negara.
“Kerjasama berkenaan selari dengan aspirasi K.I.T.A, khususnya lonjakan inovasi dan industri yang diketengahkan dalam Amanat Naib Canselor 2026.
“Melalui ionjakan inovasi dan industri, kita mahu kepakaran universiti dihubungkan dengan keperluan sebenar industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi kerjasama ini, UMPSA akan melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menambah baik algoritma mobiliti autonomi supaya lebih sesuai dengan persekitaran jalan raya tempatan.
Selain itu, data yang dikumpulkan sepanjang pelaksanaan projek akan dimanfaatkan bagi membantu algoritma memahami dan memberikan respons yang lebih baik terhadap corak pemanduan serta interaksi pengguna jalan raya di Malaysia.
Majlis itu menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif PIX Moving, Angelo (Chuan) Yu, Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif, Move Robotic Sdn. Bhd., Mohd Hazeli Rasul bertukar dokumen MoA bersempena dengan Paris Motor Show 2026 di reruai PIX Moving, Paris Expo Porte de Versailles, Paris.