Skip to main content

255 penyelidik pamer produk inovasi dan penyelidikan di CITREX UMPSA Kali Ke-14

GAMBANG, 8 Mei 2024 - Pameran Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2024 penganjuran kali ke-14 menyaksikan seramai 255 pempamer bertanding bagi kategori pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS), staf UMPSA dan staf IPTA/IPTS. 

Penyertaan melibatkan staf dan pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan 12 buah sekolah di sekitar Kuantan. 

CITREX yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA, Kampus Gambang itu kini sedang berlangsung selama tiga hari bermula pada 7 hingga 9 Mei 2024. 

CITREX merupakan acara tahunan anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi yang diadakan secara fizikal bagi melahirkan ramai penyeldik dan mengenal pasti projek-projek penyelidikan yang berpotensi untuk diketengahkan yang melibatkan projek penyelidikan staf serta pelajar UMPSA.

Menurut Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor ChM. Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim, program ini adalah program yang diadakan pada setiap tahun untuk memastikan produk-produk penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan oleh pelajar, penyelidik, dan penyertaan dari pihak luar seperti sekolah, universiti lain dapat membantu dari segi pembudayaan dan semangat ke arah mempromosikan Science, Technology, Engineering and Math (STEM).

“Program ini juga memberi peluang kepada penyelidik-penyelidik kita untuk mempromosikan produk-produk penyelidikan dan inovasi mereka supaya dapat diketengahkan kepada tahap yang lebih tinggi. 

“Ia juga memberi peluang kepada UMPSA untuk mempelbagaikan lagi dan mengembangkan produk-produk keluaran UMPSA,” ujarnya.

“Diharapkan program ini dapat dijalankan pada setiap tahun dan dapat dikembangkan untuk kemakmuran dan juga kebaikan bersama pihak dalaman UMPSA dan juga pihak luar,” ujarnya. 

CITREX adalah platform penting bagi memperkenalkan produk-produk penyelidikan UMPSA kepada potensi pemegang-pemegang taruh seterusnya membawa hasil produk penyelidikan ke peringkat seterusnya.

CITREX kali ini juga masih mengekalkan penjurian melibatkan barisan juri dalam kalangan industri, agensi kerajaan dan akademia luar. 

Antara industri dan agensi yang hadir adalah Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Petronas, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), UMP Holdings, Indah Water Konsortium (IWK), Sime Darby, Yayasan Pahang Plantation (YPP), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Department of Occupational Safety & Health (DOSH), MRANTI, Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dan Capital Education & Skills Development Sdn. Bhd.

Turut berlangsung sepanjang program diadakan adalah taklimat pembiayaan dana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pameran agensi seperti MOSTI, MBK, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), pameran kesihatan pergigian, pameran penyelidikan Pusat Kecemerlangan dan pusat tanggungjawab UMPSA, jualan keusahawanan dan trak makanan (food truck). 

Disediakan oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Naqiah Puaad