Skip to main content
7 penyelidik UMPSA kongsi kepakaran bahan termaju dan pembuatan pintar dalam CIEP 2026

7 penyelidik UMPSA kongsi kepakaran bahan termaju dan pembuatan pintar dalam CIEP 2026

SHANGHAI, CHINA - 12 November 2026 - Tujuh penyelidik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengetengahkan kepakaran dalam bidang bahan termaju, pembuatan pintar dan teknologi lestari menerusi sesi perkongsian akademik bersempena dengan The 24th Conference on International Exchange of Professionals (CIEP 2026) di Shanghai Expo Center baru-baru ini. 


Diterajui oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bersama enam penyelidik UMPSA dalam International Forum on Frontier Technologies in Intelligent Manufacturing and Advanced Materials, perkongsian ini menghubungkan pembangunan bahan, inovasi proses dan aplikasi kejuruteraan dengan keperluan industri serta kelestarian.


Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, penglibatan wakil UMPSA ini memperlihatkan pengkongsian  kepakaran universiti terhadap pembangunan bahan pada skala nano dan pengubahsuaian permukaan kepada reka bentuk struktur komposit serta proses pembuatan berasaskan bio.



Profesor Ts. Dr. Yatimah turut menyampaikan ucaptama bertajuk ‘From Advanced Materials to Intelligent Manufacturing: Empowering Talent, Driving Innovation’ dalam sesi bertemakan teknologi termaju dalam pembuatan pintar dan dinamik sistem. 


Perkongsian beliau mengetengahkan hubungan antara kemajuan bahan, transformasi pembuatan dan pembangunan bakat sebagai pemacu inovasi.


Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh hadir membentangkan  kajian bertajuk ‘Beyond Graphene Synthesis: Bridging Materials Innovation and Real-World Applications’. 


Topik ini menumpukan usaha menghubungkan inovasi bahan berasaskan grafena dengan aplikasi praktikal sekali gus menekankan kepentingan menterjemahkan penyelidikan kepada penyelesaian yang dapat dimanfaatkan industri.


Manakala Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Mahadzir Ishak pula membentangkan tajuk berkaitan  ‘Laser Surface Texturing: Engineering Functional Surfaces for A Sustainable Future’. 


Perkongsian ini memfokuskan kejuruteraan permukaan menggunakan teknologi laser bagi menghasilkan ciri permukaan berfungsi yang menyokong prestasi dan kelestarian aplikasi.


Dalam pada itu, Pengarah Kanan Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Chin Sim Yee,  mengetengahkan kajian bertajuk  ‘Manufacturing the Next Generation of Bio-Based Esters’, yang memfokuskan pembuatan ester berasaskan bio generasi baharu. 


Perkongsian ini membawa perspektif pembangunan bahan kimia berasaskan sumber bio dalam menyokong kemajuan sektor pembuatan yang lebih lestari.


Dalam bidang kejuruteraan struktur, Pengarah Kanan Strategik dan Pengembangan Akademik, Profesor Ruzaimi Rejab membentangkan kajian bertajuk ‘Advancing Composite Sandwich Structures: From Innovative Core Architectures to Sustainable and Intelligent Design”.


Pembentangan turut  membincangkan kemajuan struktur komposit sandwic melalui inovasi seni bina teras serta pendekatan reka bentuk mampan dan pintar bagi meningkatkan prestasi struktur kejuruteraan.


UMPSA turut berkongsi bidang berkait rapat dengan usaha meningkatkan kecekapan pengurusan haba dalam sistem dan aplikasi kejuruteraan. 


Perkongsian ini dibentangkan Pengarah Kanan, Centre For Advanced Mobility & Aerospace, Profesor Rizalman Mamat yang berkongsi kepakaran menerusi kajian bertajuk ‘Nanofluid for Sustainable Heat Transfer Enhancement’, yang mengetengahkan penggunaan nanobendalir untuk meningkatkan pemindahan haba.


Dalam mengetengahkan inovasi bahan termaju, Pengarah Pusat Jaringan Global, Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi berpeluang membentangkan kajian bertajuk ‘Advanced Materials for A Low-Carbon Future: Bridging Catalytic Innovation and Industrial Applications’, yang mengetengahkan teknologi pemangkin bagi penukaran karbon dioksida (CO₂) dan metana kepada bahan kimia bernilai tambah, sekali gus menyokong usaha penyahkarbonan industri dan pembangunan teknologi rendah karbon.


Penyertaan ini turut membuka ruang pertukaran ilmu dengan pakar antarabangsa, pengukuhan jaringan akademik dan industri serta penerokaan kerjasama penyelidikan yang dapat memperluas manfaat teknologi kepada masyarakat dan sektor perindustrian.


Disediakan Oleh: Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri