AERONYX UMPSA raih kemenangan dalam bidang Teknologi Aeroangkasa
FELCRA Seberang Perak, 10 September 2026 - Pasukan AERONYX, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengharumkan nama universiti dalam bidang teknologi aeroangkasa apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori 2 (Roket 1 Kilometer dan CanSat) dalam Malaysia Rocket CanSat Competition (MRCC) 2026 baru-baru ini.
Program dianjurkan oleh Planetarium Negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta High Energy Material Research Laboratory (HEMREL) pada 8 hingga 10 September 2026 di FELCRA Seberang, Perak.
Pasukan AERONYX terdiri daripada pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Akmal Hakimi Ahmad Mukhlis, pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Muhammad Afiq Farhan Izwan Muhammad Mirza Epong pelajar FTKMA, Cheong Hui Ven dan Sharifah Nursyahadah Syed Mohd Zaki serta pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Arifah Nadrah Mohd Arif
Pertandingan yang mendapat sokongan Pusat Teknologi Aeroangkasa UMPSA ini memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan kemahiran dalam bidang reka bentuk dan simulasi roket, pembuatan, sistem CanSat, ujian penerbangan serta sistem pemulihan roket.
Menurut Pengarah Pusat Teknologi Aeroangkasa, Ts. Dr. Muhammad Syahir Amzar Zulkifli yang menyelia pasukan berkata, kejayaan ini membuktikan komitmen dan keupayaan mahasiswa UMPSA dalam mengaplikasikan ilmu kejuruteraan dan teknologi aeroangkasa melalui inovasi, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah.
“Semoga kejayaan ini menjadi pendorong untuk terus cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, dan Aeroangkasa,” ujarnya.
Turut sama menyelia pasukan adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran (FK), Dr. Siti Salwani Yaacob dan Eksekutif Teknikal, Pusat Mobiliti Maju dan Aeroangkasa, Ahmad Tamimi Ahmad Termizi.
Pertandingan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Teknologi Aeroangkasa ini disertai pelbagai institusi pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.

Hadir menyampaikan hadiah Pengarah Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor yang mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang menyempurnakan perasmian penutupan MRCC 2026.
Pada peringkat akhir MRCC 2026 ini menyaksikan sebanyak 104 pasukan membabitkan 425 pelajar serta 152 mentor mengambil bahagian.
Disediakan Oleh: Ts. Dr. Azri Alias, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA)
- 30 views
Reports by: