Skip to main content

'Air bersih untuk semua' jadi misi hidup Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Nurlin Abu Samah

PEKAN, 22 Julai 2026 – Bagi sesetengah individu, air hanyalah keperluan asas yang mudah diperoleh. Namun, bagi Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Nurlin Abu Samah, akses kepada air bersih merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu diperjuangkan melalui penyelidikan dan inovasi berteraskan sains.

Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berasal dari Kuala Lumpur itu telah mendedikasikan lebih 17 tahun perjalanan akademiknya dalam bidang Kimia Analisis, Perawatan Air, Sintesis dan Aplikasi Polimer serta Pemodelan Simulasi Kualiti Air.

Pada 15 Julai 2026, beliau telah menerima kenaikan pangkat sebagai Profesor Madya, sekali gus menjadi satu pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan teknologi berkaitan rawatan air.

'Air bersih untuk semua' jadi misi hidup Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Nurlin Abu Samah

Menurut beliau, minat terhadap bidang sains dan penyelidikan bermula sejak di universiti apabila mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kimia Analisis) di Universiti Sains Malaysia (USM), sebelum meneruskan pengajian Sarjana (MSc) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Perjalanan akademik saya banyak dibentuk oleh keinginan untuk memahami bagaimana sains boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar, khususnya isu berkaitan alam sekitar dan sumber air,” katanya.

Beliau memulakan kerjaya akademiknya di UMPSA pada Julai 2009 sebagai pensyarah sambilan sebelum dilantik secara tetap sebagai Pensyarah Universiti pada Oktober tahun yang sama.

'Air bersih untuk semua' jadi misi hidup Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Nurlin Abu Samah

Bagi memperkukuhkan lagi kepakaran pada peringkat antarabangsa, beliau kemudiannya melanjutkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universitat Autònoma de Barcelona (UAB), Sepanyol dari tahun 2014 hingga 2017.

Sepanjang berada di Eropah, beliau mendalami bidang Teknologi Cetakan Polimer, kimia hijau dan perawatan air, selain berjaya menamatkan pengajian dengan penganugerahan PhD gred Excellent.

Sekembalinya ke tanah air pada penghujung tahun 2017, beliau terus aktif menerajui pelbagai projek penyelidikan berimpak tinggi yang memberi fokus kepada kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

Kini, antara fokus utama penyelidikan beliau ialah pembangunan teknologi bagi menyingkirkan pelbagai bahan pencemar berbahaya daripada sumber air seperti arsenik, zat besi, mangan serta sebatian organik termasuk Asid Perfluorooktanoik (PFOA), bahan pewarna dan diclofenac.

Salah satu penyelidikan yang paling menonjol ialah pembangunan projek CLEARAQUA: Arsenic Free Water Project, yang turut melahirkan produk inovasi dikenali sebagai SORAS, iaitu sistem penapis berasaskan teknologi polimer yang direka khusus untuk menyingkirkan kandungan arsenik daripada sumber air tercemar.

'Air bersih untuk semua' jadi misi hidup Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Nurlin Abu Samah

Menurut beliau, inovasi tersebut dibangunkan bagi menangani isu pencemaran air yang berpunca daripada aktiviti perlombongan dan faktor persekitaran lain, termasuk kes pencemaran akibat perlombongan bauksit.

“Melalui teknologi ini, masyarakat berpotensi memperoleh akses kepada sumber air yang lebih selamat dan berkualiti, sekali gus meningkatkan tahap kesihatan awam dan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Beliau percaya bahawa penyelidikan tidak seharusnya terhenti di makmal semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat dan industri.

Malah, kejayaan produk SORAS telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat universiti dan kebangsaan, termasuk meraih pingat emas dan Hadiah Khas Biotropik di Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREX) 2021, pingat perak di International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2021 serta pingat emas dan Hadiah Khas Makmal Berpusat di CITREX 2024.

Menurutnya, sebalik kejayaan tersebut, beliau mengakui bahawa perjalanan sebagai ahli akademik dan penyelidik bukanlah sesuatu yang mudah.

“Antara cabaran terbesar yang dihadapi ialah menyeimbangkan tanggungjawab dalam pengajaran, pengurusan geran penyelidikan, penyeliaan pelajar pascasiswazah serta usaha memastikan hasil sintesis bahan polimer berjaya diskalakan bagi kegunaan industri dan komuniti.

“Cabaran terbesar bukan hanya menghasilkan sesuatu inovasi di makmal, tetapi memastikan ia boleh diaplikasikan dalam situasi sebenar dan memberi impak kepada masyarakat,” jelasnya.

Selain aktif dalam penyelidikan, beliau juga memainkan peranan penting sebagai Penyelaras Program Sarjana Sains Analitik Kimia mod campuran di FSTI.

Tambahnya, sebagai ahli akademik, beliau bertanggungjawab memastikan kualiti program akademik sentiasa relevan dengan kehendak industri dan mematuhi standard akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta badan profesional.

“Saya juga berperanan sebagai penghubung utama antara pihak pengurusan, pensyarah, pelajar dan panel industri dalam usaha memperkukuhkan kualiti pendidikan serta pengalaman pembelajaran mahasiswa.

“Dalam bidang penyelidikan pula, saya kini mengetuai beberapa geran industri dan geran antarabangsa yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi rawatan air dan bahan termaju,” ujarnya. 

Berkongsi tokoh yang menjadi inspirasi, beliau mengakui amat mengagumi saintis terkenal dunia, penerima Hadiah Nobel Kimia 2025, Omar M. Yaghi, yang terkenal dengan pembangunan kerangka metal-organik (Metal-Organic Frameworks, MOF).

Menurut beliau, penyelidikan berkaitan MOF telah membuka dimensi baharu dalam memahami proses pemisahan kimia dan menjadi inspirasi dalam pembangunan teknologi penapisan air yang lebih cekap dan lestari.

Bagi beliau, dorongan utama untuk terus kekal aktif dalam bidang penyelidikan ialah keinginan melihat hasil kajian memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Air adalah keperluan asas kehidupan. 

“Setiap kali melihat isu pencemaran dan kesukaran masyarakat mendapatkan air bersih, saya merasakan masih banyak yang perlu dilakukan oleh penyelidik untuk membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau turut menyifatkan antara detik paling membanggakan sepanjang kerjayanya ialah apabila melihat hasil penyelidikan yang dibangunkan berjaya diterjemahkan kepada penyelesaian dunia sebenar.

Namun, lebih daripada segala pengiktirafan dan anugerah yang diterima, kejayaan terbesar beliau sebagai seorang akademik adalah melihat anak-anak didiknya berjaya menamatkan pengajian dan menyumbang semula kepada industri sebagai ahli kimia yang berwibawa.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru generasi muda agar tidak takut untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta TVET.

“Sains bukan sekadar teori di dalam buku, tetapi merupakan alat untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar. 

“Pupuk sifat ingin tahu, sentiasa berinovasi dan percaya bahawa setiap usaha kecil dalam penyelidikan mampu membawa impak besar kepada kesejahteraan manusia,” ujarnya.

Di luar kesibukan tugas akademik dan penyelidikan, beliau gemar meluangkan masa bersama keluarga, sahabat serta melakukan aktiviti riadah bagi mengekalkan keseimbangan kehidupan dan kesihatan mental.

Beliau turut menyifatkan UMPSA sebagai destinasi pengajian tinggi yang menawarkan ekosistem pembelajaran yang unik dan praktikal.

Menurutnya, kemudahan makmal yang canggih, kurikulum yang memenuhi keperluan industri serta bimbingan daripada pensyarah dan pakar yang aktif dalam penyelidikan bertaraf dunia menjadi antara kelebihan utama UMPSA.

“Pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu teori, malah didedahkan kepada pengalaman pembelajaran sebenar yang mampu mempersiapkan mereka untuk memenuhi kehendak industri masa depan,” katanya.

Dedikasi dan komitmen Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Nurlin Abu Samah membuktikan bahawa seorang saintis bukan sekadar menghasilkan penemuan baharu, tetapi turut berperanan sebagai agen perubahan yang membawa penyelesaian kepada cabaran masyarakat.

Melalui misi memperjuangkan akses kepada air bersih, beliau terus membuktikan bahawa penyelidikan yang bermula di makmal mampu mengubah kehidupan manusia dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar demi generasi akan datang.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri