Jurnal UMPSA jadi wadah ilmu, raih pengiktirafan Anugerah MAPIM-KPT Ke-16
PUTRAJAYA, 9 Disember 2025 – Penerbit Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan reputasi sebagai penerbit akademik berprestij apabila dua makalah yang diterbitkan di dalam jurnal terbitannya meraih pengiktirafan di Anugerah MAPIM-KPT ke-16, sekali gus mengangkat peranan UMPSA sebagai wadah ilmu berimpak tinggi.
Pemenang tempat pertama bagi kategori Makalah Jurnal Terbaik (Sains dan Teknologi) – Indeks Antarabangsa dimenangi oleh artikel bertajuk ‘The Behaviour of Ternary Hybrid Nanofluid: Graphene oxide, Aluminium oxide, Silicon dioxide In Heat Transfer Rate’ yang diterbitkan di dalam Journal of Mechanical Engineering and Sciences (JMES) pada tahun 2024.

Makalah ini dihasilkan oleh Profesor Madya Ir. Dr. Irnie Azlin Zakaria, pensyarah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) selaku penulis koresponden bersama Fadhilah Mohd Hanapiah dan Nurlisa Hamzan serta Siti Rabizah Makhsin dari Graphene Engineering Innovation Centre, United Kingdom.
Kajian ini memberi sumbangan penting dalam bidang pemindahan haba menggunakan teknologi nanofluid hibrid, yang berpotensi meningkatkan kecekapan sistem penyejukan dan tenaga.
Manakala bagi kategori Makalah Jurnal Terbaik (Sains Sosial dan Ilmu Kemanusiaan) – Indeks Kebangsaan, pemenang tempat kedua diraih oleh artikel bertajuk ‘From Complexity to Clarity: A Dematel Analysis of Critical Blockchain Technology Adoption Factors’ yang diterbitkan di dalam Journal of Governance and Integrity (tahun terbitan 2024).

Makalah ini dihasilkan oleh Profesor Madya Dr. Lee Chia Kuang, pensyarah di Fakulti Pengurusan Industri (FPI), UMPSA selaku penulis koresponden bersama Marián Bujna (University of Agricultural, Slovakia) dan Jankin Abdul Rahman (UMPSA).
Kajian ini menggunakan pendekatan DEMATEL (Decision-Making Trial and Evaluation Laboratory) untuk menganalisis faktor kritikal penerimaan teknologi blockchain.
Majlis penyampaian anugerah tersebut telah berlangsung pada 9 Disember 2025 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya dan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik & Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, Profesor Dr. Zainal Amin Ayub,
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, kejayaan ini membuktikan peranan UMPSA bukan sahaja sebagai pusat ilmu tetapi juga sebagai penerbit berprestij dan wadah penerbitan ilmiah yang menyokong penyelidikan berimpak tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Selaras dengan Pelan Strategik UMPSA, kami akan terus memperkukuh ekosistem penerbitan berkualiti melalui digitalisasi, jaringan strategik global, dan pembangunan bakat sarjana bagi memastikan UMPSA kekal sebagai rujukan utama di persada dunia,” ujarnya.
Manakala menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, penerbitan berkualiti adalah tonggak utama ekosistem penyelidikan.
“Sebagai sarjana, kita bertanggungjawab memastikan hasil kajian disebar luas melalui saluran berindeks dan berimpak tinggi. UMPSA akan terus memperkukuh sokongan kepada penyelidik melalui jaringan strategik dan inovasi,” katanya.
Pengarah Penerbit UMPSA, Ts. Dr. Rozaimi Abu Samah berkata, sebagai penerbit rasmi, kami beriltizam memastikan setiap jurnal mematuhi piawaian penerbitan berindeks antarabangsa.
“Pencapaian ini mengangkat nama UMPSA dan membuktikan bahawa jurnal kami menjadi wadah ilmu serta rujukan utama dalam bidang masing-masing.
“Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UMPSA, malah mengukuhkan kedudukan Penerbit UMPSA sebagai penerbit akademik berkualiti di Malaysia dan di persada antarabangsa,” jelasnya.
Disediakan Oleh: Fadhilah Abdul Ghaffar, Penerbit UMPSA
- 12 views
Reports by: