Skip to main content

Kerang laut dalam asfalt berliang bahan gantian semula jadi turapan tempat letak kenderaan

PAYA BESAR, 12 Januari 2022 - Air merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kerosakan turapan jalan khususnya di tempat letak kenderaan.

Air akan meresap dan menghasilkan kelembapan dan menyebabkan lapisan agregat tepu.

Justeru, untuk mengatasi masalah ini, kajian yang bertajuk Seashell Porous Asphalt – Sustainable Road Construction oleh penyelidik dan pensyarah Kolej Kejuruteraan (KKEJ), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Dr. Ramadhansyah Putra Jaya, 42 telah berjaya dijalankan untuk menilai keberkesanan kerang laut dalam asfalt berliang sebagai bahan gantian semula jadi (agregat).

Menurut Profesor Madya Dr. Ramadhansyah, keutamaan turapan asfalt berliang adalah untuk tempat letak kenderaan yang memungkinkan air mengalir melalui permukaan turapan ke tempat pengisian batu seterusnya menyusup ke tanah di bawah turapan.

Kerang laut dalam asfalt berliang bahan gantian semula jadi turapan tempat letak kenderaan

 

“Setakat ini, penggunaan kerang laut dalam kejuruteraan turapan asfalt berliang tidak pernah diguna pakai lagi.

“Sebenarnya, kerang laut sangat berpotensi digunakan sebagai bahan gantian agregat dalam reka bentuk campuran turapan untuk meningkatkan prestasi jalan raya terutamanya di kawasan yang menerima hujan lebat.

“Penyelidikan ini telah bermula pada bulan Julai 2020 dan siap sepenuhnya pada Jun 2021,” ujarnya yang berasal dari Banda Aceh, Indonesia.

Katanya, penggunaan agregat dalam pembinaan bangunan dan turapan jalan raya adalah sangat tinggi buat masa ini.

“Penggunaan agregat yang banyak akan menimbulkan masalah alam sekitar seperti kemerosotan sumber bumi semula jadi.

“Oleh sebab itu, kajian ini menggunakan kerang laut sebagai bahan gantian agregat dalam campuran asfalt berliang.

“Ia merupakan salah satu alternatif untuk mengurangkan penggunaan sumber bumi semula jadi,” katanya yang mendapat pendidikan Ijazah Kedoktoran dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Kajian ini dijalankan bersama seorang pelajar pascasiswazah, Nicole Liew Siaw Ing dan dibantu oleh tiga orang pensyarah iaitu Ts. Dr. Khairil Azman Masri, Dr. Noram Irwan Ramli dan Profesor Madya Dr. Mohamad Idris Ali dari Jabatan Kejuruteraan Awam, KKEJ, UMP.

Ujarnya, kerang laut dicampur ke dalam bahan utama turapan asfalt berliang sebagai bahan gantian agregat bagi meningkatkan kekuatan dan ketahanan turapan tersebut.

“Penggunaan kerang laut sebagai bahan gantian agregat diharapkan dapat meningkatkan prestasi turapan asfalt berliang terutamanya di kawasan yang menerima hujan lebat.

“Malah, ia juga dapat diperluaskan dalam pembinaan lain seperti laluan pejalan kaki dan penutup longkang konkrit.

“Kami turut mengadakan kerjasama dengan syarikat Rland Technic Resources sebagai pengeluar bahan binaan.

“Kerjasama dengan agensi kerajaan pula sedang diusahakan iaitu dengan pihak JKR Malaysia untuk tujuan memperluas penggunaan kerang laut sebagai bahan gantian dalam turapan jalan raya,” katanya.

Untuk rekod, penyelidikan ini telah merangkul pingat emas di pertandingan CITREx 2021 dan juga pingat emas di ITEX 2021.

Beliau juga sebelum ini pernah menjalankan penyelidikan bertajuk Waste Cooking Oil as Bio Asphalt dan Waste Plastic as Green Road.

Disediakan oleh: Safriza Baharuddin dan Nur Hartini Mohd Hatta, Penerbit UMP

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri